Geran Khas Prihatin 2.0 disalur 30 November ini

Geran Khas Prihatin 2.0 disalur 30 November ini

HAMPIR 304,000 pemohon Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro layak menerima Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, ia melebihi sasaran dengan melibatkan anggaran peruntukan RM912 juta, yang mana kerajaan pada mulanya hanya menetapkan 200,000 pemohon PKS mikro akan memohon GKP 2.0 dengan peruntukan asalnya RM600 juta.

Katanya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan ketika permohonan dibuat mulai 30 November ini, tetapi semakan kelulusan boleh dibuat bermula 27 November.

Tengku Zafrul berkata, pemohon boleh mengetahui status kelayakan menerusi portal khas GKP yang dibangunkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Menurut beliau, keseluruhan penerima GKP 1.0 dan GKP 2.0 yang diluluskan hampir 849,000 dengan peruntukan bantuan kewangan sebanyak RM2.55 bilion.

“Setiap permohonan diterima LHDN disemak silang dengan data agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ini bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak dan memenuhi syarat ditetapkan dengan tempoh permohonan GKP 2.0 dibuka dari 1 hingga 31 Oktober lalu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, GKP 2.0 dibuka semula oleh kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonom Kita Prihatin secara bayaran one-off RM3,000 dan pemohon yang tidak pernah menerima GKP 1.0.

“Ia bertujuan meringankan beban kewangan perniagaan berikutan impak Covid-19, di samping meningkatkan produktiviti demi kelangsungan PKS mikro di seluruh negara.

“Lebih 545,000 pemohon GKP 1.0 telah menerima manfaat inisiatif itu dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1.63 bilion yang dibayar pada Jun lalu,” katanya. – Malaysiapost

Komen