Larangan jual arak langgar perlembagaan tak tepat

Larangan jual arak langgar perlembagaan tak tepat

ISU larangan penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil, berkata peraturan baharu ini bukan bertujuan menghalang orang bukan Islam meminum arak, tetapi lebih kepada mengurus dan mengawal penjualan arak.

Namun, beliau berkata, larangan ini tidak terpakai ke atas penjualan bir di kedai runcit dan kedai serbaneka agak pelik kerana ia tidak pula dikategorikan minuman keras.

“Adapun Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama nya.

“Adalah ditegaskan bahawa peruntukan ini adalah berkaitan perkara kepercayaan (aqidah) dan mengamalkan peraturan (ibadat) yang ditetapkan agama masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, namun isunya adalah penjualan arak dan bukannya pengharaman meminum arak.

“Sekiranya mana-mana agama tidak melarang meminum arak, peraturan baharu ini tidak menyentuh perkara tersebut kerana ia bukan berkaitan melarang seseorang meminum arak, cuma pengurusan dan kawalan penjualan arak dihadkan di kedai-kedai tertentu.

“Ironinya, larangan meminum minuman keras dalam pemanduan tidak pula dianggap melanggar kebebasan beragama di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya orang bukan Islam langsung dilarang meminum arak, barulah boleh dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, membuat suatu peraturan menyeragamkan sistem kehidupan semua warganegara adalah perlu dalam konteks kemajmukan negara ini.

“Kerajaan PN juga diingatkan untuk tidak mempolemikkan isu ini bagi meraih simpati politik murahan. Memahami sesuatu isu dari sudut undang-undang dan perlembagaan dengan kehendak warganegara yang sentiasa dipandu oleh agama dan budaya masing-masing perlu diseimbangkan.

“Hak individu untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing harus dihormati dan dipromosikan bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang aman dan makmur,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 muktamad.

“Keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad,” katanya. -Malaysiapost

Komen