Pilihan raya mampu stabilkan politik negara

Pilihan raya mampu stabilkan politik negara

TIMBALAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berpendapat bahawa senario politik negara akan terus tidak stabil selagi mandat tidak dikembalikan kepada rakyat melalui pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, satu-satunya jalan untuk menyelesaikan ketidaktentuan politik hanya dapat dilakukan dengan mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya.

“Dalam hal ini, saya senada dengan seruan Presiden Umno supaya semua parti politik mengetepikan perbezaan demi rakyat dan bersatu untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Mandat rakyat adalah mandat yang keramat,” katanya menerusi laman blognya.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, sebanyak 13 negara sudah mengadakan pilihan raya di walaupun pandemik Covid-19 masih berleluasa, termasuk Singapura.

Jelasnya, jumlah jangkitan Covid-19 di negara itu semakin menurun walaupun pilihan raya diadakan pada 10 Julai lalu.

Dalam pada itu, Azalina turut mencadangkan supaya kerajaan menggubal tiga undang-undang baharu untuk memastikan Malaysia tidak terjerumus dalam ketidakstabilan dan pergolakan politik.

Tiga undang-undang itu untuk mengawal lompat parti, tataurus parti-parti politik dalam gabungan kerajaan, serta sebuah akta menentukan tempoh penggal kerajaan seperti yang digubal di United Kingdom pada 2011.

“Mungkin hanya apabila keseimbangan politik dikembalikan dan kawal selia yang dicadangkan itu ada, barulah ahli politik boleh mengalihkan tumpuan mereka kepada apa yang diharapkan daripada mereka, iaitu mentadbir dengan bertanggungjawab,” katanya.

“Sehingga itu, Malaysia akan terus mengharungi masa terdesak dengan langkah yang putus asa.” katanya.

Jelas beliau, undang-undang sama seperti Akta Tempoh Penggal Parlimen di United Kingdom akan menetapkan bahawa usul percaya akan membawa kepada pilihan raya.

Azalina mencadangkan agar tiga undang-undang baharu itu digubal sekarang, ketika Parlimen masih bersidang. – Malaysiapost

Komen