Pinjaman sehingga RM50,000 tingkatkan golongan muda sertai francais

Pinjaman sehingga RM50,000 tingkatkan golongan muda sertai francais

[PARLIMEN] SKIM Pinjaman Kecil Francais (SPKF) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 disediakan oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan penyertaan golongan muda dalam industri francais di Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata melalui skim itu, golongan berkenaan berpeluang menceburi bidang perniagaan dengan menjalankan perniagaan secara francais mikro dan mampu milik yang ditawarkan.

“KPDNHEP berpendapat, masih terdapat banyak lagi peluang untuk mengembangkan industri tersebut bukan sahaja di Sarawak bahkan di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Alexander (PBB-Kapit) berkata demikian selepas menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai usaha kerajaan untuk mempergiatkan lagi penglibatan usahawan muda dalam bidang francais.

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Robert mengenai inisiatif Belanjawan 2021 dalam membantu industri francais, Alexander berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk pengembangan industri itu.

Menurutnya, inisiatif itu adalah bagi memanfaatkan golongan B40 dan M40.

“Jadi selaras dengan konsep francais untuk semua, kita melihat pembangunan francais perlu dilihat secara komprehensif dan memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, ia bukan sahaja tertumpu di Sarawak sebaliknya di seluruh negara.

Katanya, KPDNHEP sedang berusaha mendapatkan konsensus bersama beberapa institusi pembiayaan dan Persatuan Francais Malaysia dalam mencapai matlamat itu.

“Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa jenama syarikat francais agar terlibat dalam bidang ini dan membangunkan idea francais mikro dan mampu milik ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen