SOP solat berjemaah bukan dibuat terburu-buru

SOP solat berjemaah bukan dibuat terburu-buru

[PARLIMEN] MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memaklumkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika solat berjemaah dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa dan bukanlah terburu-buru.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dan mengambil mudah dalam memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat, termasuk dalam pelaksanaan SOP ketika solat berjemaah.

“Justeru, kerajaan sentiasa mendengar nasihat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi memastikan pembukaan masjid dan surau tidak bertentangan dengan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Hal ini bukan saja dilakukan di Malaysia, tetapi juga negara Islam lain berdasarkan pandangan institusi fatwa terkemuka dunia seperti Hai’ah Kibar Ulama al-Azhar, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dan Majma’ Fiqh Islam Sedunia,” katanya di Parlimen, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, beliau mengambil inisiatif mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) sejak awal penularan wabak Covid-19 berlaku.

Katanya, sehingga kini sebanyak sembilan kali mesyuarat khas diadakan.

“Dalam mesyuarat terakhir pada 2 November lalu, antara resolusi yang dipersetujui adalah kapasiti jemaah ketika solat Jumaat diperluas kepada satu per tiga dewan solat utama, manakala 30 orang bagi solat jemaah lima waktu di masjid dan surau.

“Kanak-kanak berusia 8 tahun ke atas juga dibenarkan untuk hadir menunaikan solat Jumaat. SOP ini telah pun dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.

“Manakala pelaksanaan di peringkat negeri yang lain pula, adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing memandangkan urusan agama terletak di bawah bidang kuasa negeri dengan perkenan Tuanku Sultan atau Raja,” katanya. -Malaysiapost

Komen