Subway jalin kerjasama dengan JDT

Subway jalin kerjasama dengan JDT

KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkukuhkan kerjasama antarabangsa apabila mengumumkan kerjasama dengan syarikat sandwich dari Amerika Syarikat, Subway.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di Facebook rasmi, kerjasama yang terjalin itu menyaksikan Subway akan membuka outlet mereka di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri bermula musim hadapan.

Perkembangan terbaharu itu juga bermakna JDT telah berjaya menggamit kerjasama bersama dua jenama antarabangsa pada bulan ini apabila pembuat kenderaan elektrik, SWAG telah memeterai perjanjian penajaan pada 16 November lalu.

Dalam perkembangan sama, JDT kini sedang dalam proses perbincangan bersama tiga lagi jenama terkenal untuk turut serta dalam membuka cawangan mereka di Stadium Sultan Ibrahim.

Stadium yang dilancarkan secara rasmi pada 22 Februari lalu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar itu dibina dengan rekaan khas sebagai destinasi pelancongan di mana para pengunjung boleh menikmati makanan, membeli-belah dan juga menonton perlawanan bola sepak. -Malaysiapost

Komen