Tindakan saman dalam proses – Shahidan Kassim

Tindakan saman dalam proses – Shahidan Kassim

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akan menyaman portal yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya ketika membahas Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu berkata, peguamnya telah dirujuk untuk menilai kerosakan yang dilakukan oleh portal terbabit yang dikatakan sengaja menukar perkataan ‘bekas’ kepada ‘Pekan’.

“Perkataan ‘bekas’ yang ditukar kepada ‘Pekan’ itu adalah sesuatu yang disengajakan.

“Mereka minta maaf, anggap boleh selesaikan masalah. Kita lihat kerosakan yang dibuat dan pertimbangkannya kelak,” katanya seperti dilaporkan PN BCC portal.

Beliau turut kesal dengan pihak tertentu yang mengecamnya tanpa usul periksa setelah membaca laporan portal berkenaan.

Shahidan memberitahu, mereka juga telah meminta maaf kepadanya kerana merujuk kepada laporan yang salah.

“Dah pukul orang separuh mati, padahal di peringkat awal tak perlu pukul pun, semua kerana tersalah tafsir,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan meminta semua pihak khususnya pemimpin Umno tidak mempersoalkan kedudukannya sebagai Pengerusi berkenaan memandangkan beliau adalah Ahli Parlimen BN. – Malaysiapost

Komen