‘Umno parti yang kalah’, satu kejujuran politik

‘Umno parti yang kalah’, satu kejujuran politik

KENYATAAN Tan Sri Annuar Musa bahawa ‘Umno parti yang kalah’ merupakan satu kejujuran politik.

Timbalan Ketua Umno Bahagia Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata pandangan Annuar itu adalah demi mempertahankan agenda penyatuan dan kuasa politik ummah, serta memastikan Umno tidak tersilap langkah dalam percaturan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu bukan untuk mempertahankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya yakin Annuar bukan bercakap bagi pihak Bersatu dan mendahului Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam soal taktikal.

“Saya percaya Annuar hanya mempertahankan kejujuran politik iaitu bercakap benar dan tidak menyembunyikan fakta sebenar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tun Faisal berkata, adalah tidak wajar untuk terus menerus memainkan naratif palsu mengenai PRN Sabah yang direka-reka untuk memberi justifikasi kepada usul menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara menyemarakkan permusuhan dengan Bersatu.

“Saya berdoa supaya Ahli MKT, ahli Umno dan ‘cybertrooper’ berbayar yang memainkan naratif palsu, sentimen kebencian dan anti penyatuan Ummah ini segera insaf dan kembali kepada asas perjuangan sebenar iaitu pemerintah Islam, permuafakatan Ummah, penyatuan bangsa, ‘NO Anwar dan NO DAP.’

“Jangan bersubahat dengan penyebar naratif palsu dan usaha menghalalkan sokongan terhadap Anwar,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, Annuar mungkin dilihat seolah-olah bersendirian dalam menyatakan perkara tersebut secara terbuka, namun hakikatnya sebaliknya.

“Tiga kali usul menyokong Anwar dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi Umno (dan) tiga kali juga usul ini ditolak. Apakah maksudnya?.

“Maksudnya, Annuar mungkin salah seorang yang menyuarakannya di media, tapi bukan bagi pihak Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya bagi pihak majoriti Ahli MKT dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih belum mahu menyuarakan pandangan mereka secara terbuka tapi telah menegaskan pendirian mereka dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan mereka,” katanya.

Terdahulu, Annuar dalam wawancara bersama Umno Online berkata, Umno perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin.

Annuar berkata, sesetengah individu dalam parti itu sudah lupa, Umno parti yang kalah dan sudah jatuh.

“Kadang-kadang kita masih dalam kepompong. Kita rasakan Umno sekarang masih macam Umno dulu yang mana kita perlu dilayan begini dan begitu,” katanya.

Susulan itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi menempelak Setiausaha Agung BN itu dengan mengingatkannya supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain. -Malaysiapost

Komen