Amaran cuaca buruk di Pantai Timur hingga Jumaat

Amaran cuaca buruk di Pantai Timur hingga Jumaat

AMARAN cuaca buruk tahap jingga dengan hujan lebat dijangka berterusan di negeri Pantai Timur Semenanjung, sehingga Jumaat ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berkata, negeri dalam amaran tahap jingga ialah Kelantan di daerah Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Bachok dan Kuala Krai; Terengganu serta Pahang membabitkan daerah Kuantan.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, berkata pihaknya juga mengeluarkan pertambahan kawasan amaran cuaca waspada tahap kuning dengan menjangkakan hujan lebat sehingga Jumaat ini di tiga negeri.

“Bagi negeri Perak membabitkan daerah Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Kinta. Manakala bagi Kelantan membabitkan daerah Pasir Mas, Tumpat, Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang.

“Pahang pula membabitkan daerah Jerantut, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Katanya, amaran waspada tahap kuning berkuat kuasa Khamis hingga Jumaat di dua negeri iaitu Perlis dan Kedah membabitkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Sik dan Baling.

Pada masa sama katanya, angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh berkenaan.

“Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan berkenaan,” katanya. -Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

Komen