Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia – Thailand

Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia – Thailand

SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis, maut dipercayai akibat ditembak awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39.

Baharuddin dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakan setugasnya Norihan mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji yang dihubungi, mengesahkan kejadian dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam perjalanan ke Perlis bagi melawat mangsa dan meninjau keadaan semasa.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kementeriannya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian serangan itu.

“Polis Diraja Malaysia telah diarahkan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan tersebut.

“Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya menerusi kenyataan. -Malaysiapost

Komen