Angkara Covid-19, dulu pemandu pelancong, kini penghantar surat khabar

Angkara Covid-19, dulu pemandu pelancong, kini penghantar surat khabar

Nurul Huda Abhar

SEBELUM ini tugasnya mengiringi pelancong dari dalam mahupun luar negara, tetapi kini berbeza kerana punca rezeki bertukar kepada penghantar surat khabar.

Bagi Muhammad Rasid Abu Ngama, 34, beliau tidak betah melakukan pelbagai kerja asal dapat menampung kehidupan seharian, tatkala industri pelancongan kini runtuh berikutan Covid-19 yang melanda dunia.

Berpengalaman selama lima tahun bergelar pemandu pelancong berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), beliau tidak menyangka Covid-19 memberi kesan sangat besar kepada dirinya.

“Disember dan Januari adalah waktu paling sibuk kerana ramai pelancong datang ke negara kita. Nasib baik pendapatan yang diperoleh ketika itu dapat membantu semasa tiada pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

“Saya juga bersyukur kerana menerima bantuan RM600 daripada Motac kepada pemandu pelancong yang berdaftar dan berlesen. Jadi itu juga dapat mengurangkan beban kewangan ketika PKP,” katanya kepada Malaysiapost.

Menurut Muhammad Rasid, tugas sebagai penghantar surat khabar bermula apabila dipelawa rakan untuk mengedarkan akhbar terbitan Kementerian Wilayah Persekutuan iaitu ‘Wilayahku’ pada hari Jumaat dan Sabtu setiap minggu.

Katanya, biarpun perlu mengedarkan surat khabar di tiga kawasan utama di Setiawangsa, Kampung Baru dan Wangsa Maju yang meliputi 60 cawangan lokasi, itu bukan masalah kerana yang utama beliau masih mempunyai sumber pendapatan.

Bagi Muhammad Rasid, tiada jurang ketara antara tugas pemandu pelancong dan penghantar surat khabar kerana kedua-duanya memerlukan beliau berkomunikasi dengan orang ramai dan tidak terikat dengan jadual waktu kerja yang padat.

“Seperti sedia maklum, bukan pemandu pelancong sahaja yang terjejas. Malah juruterbang, pramugari dan pramugara turut sama berfikir untuk mencari jalan untuk menambah pendapatan.

“Ada yang pandai melukis, ada yang pandai berniaga maka mereka gunakan kemahiran itu. Saya tidak terkecuali. Rakan-rakan dan keluarga tidak terkejut saya lakukan banyak kerja termasuk penghantar surat khabar.

“Saya dapat sokongan penuh dari mereka. Selagi kerja itu boleh tambah sumber pendapatan, mereka okay sahaja,” ujarnya.

Mengakui banyak cabaran dan pengalaman ditimba semasa bergelar pemandu pelancong, beliau menyatakan rindu untuk kembali bekerja dalam bidang tersebut.

Ini kerana, minat sangat mendalam dalam bidang pelancongan tidak mematahkan semangatnya untuk berdoa agar wabak Covid-19 berakhir dan negara kembali membenarkan industri pelancongan beroperasi seperti biasa.

“Perlu banyakkan berdoa, bertabah kerana ini ujian, bukan agensi pelancongan sahaja malah semua pihak lain. Buatlah ‘online business’, jual apa-apa pun selagi halal bagi menjana pendapatan untuk menyara kehidupan,” katanya. – Malaysiapost

Komen