CEUPACS mohon tempoh bayaran pinjaman 20 tahun

CEUPACS mohon tempoh bayaran pinjaman 20 tahun

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan had tempoh bayaran pinjaman bagi kakitangan awam dipanjangkan kepada 20 tahun.

Presidennya, Adnan Mat berkata, tempoh bayaran pinjaman termasuk pembiayaan peribadi yang panjang diperlukan bagi mengecilkan bebanan bayaran bulanan kakitangan awam.

“Untuk makluman pada 2013 BNM telah mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 kepada 35 tahun.

“Langkah itu mengakibatkan jumlah bayaran bulanan perlu dibayar peminjam baru menjadi lebih besar sekali gus mengurang jumlah pendapatan boleh guna mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, CUEPACS berpendapat langkah itu memberi kesan kepada pendapatan boleh guna kakitangan awam yang membataskan potensi untuk membuat pinjaman baharu seperti pembelian rumah yang harganya meningkat mendadak.

“Justeru, CUEPACS berpandangan langkah memanjangkan semula tempoh pembiayaan wajar dilaksanakan semula ketika rakyat terkesan penularan pandemik Covid-19 kerana jumlah bayaran balik pinjaman akan menjadi lebih rendah.

“Mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi untuk berniaga juga tidak begitu bimbang melakukan pinjaman kerana bayaran bulanan lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

“Mana-mana kakitangan awam yang terjejas pendapatan juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang lebih mampu. Penstrukturan semula pinjaman boleh mengelak masalah kebankrapan atau muflis,” jelasnya

Tambah Adnan lagi, bayaran semula pinjaman yang rendah membolehkan kakitangan awam mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan sekali gus merancakkan ekonomi negara. – Malaysiapost

Komen