Covid-19: Empat lagi kematian dicatat hari ini

Covid-19: Empat lagi kematian dicatat hari ini

Nurul Huda Abhar

SEBANYAK empat lagi kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini, satu daripadanya melibatkan bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes kematian adalah di Sabah manakala satu lagi di Pulau Pinang.

“Kes 338 dilaporkan di Hospital Pulau Pinang. Pesakit lelaki berumur 84 tahun itu mempunyai penyakit darah tinggi dan penyakit kronik paru-paru.

“Bagi kes 339 adalah melibatkan pesakit lelaki berumur 74 tahun. Manakala kes 340 wanita berumur 41 tahun. Kedua-dua kes kematian ini berlaku di Hospital Lahad Datu.

“Kematian 341 melibatkan lelaki berumur 45 tahun, meninggal dunia di Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini terdapat 334 kluster telah dilaporkan manakala jumlah kluster yang tamat adalah 167 dengan satu kluster yang tamat hari ini iaitu Bah Layangan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 167. Daripada jumlah tersebut, 36 kluster melaporkan pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (1,511 kes), Kluster Tembok (103 kes), dan Kluster Bintang (69 kes),” ujarnya. – Malaysiapost

Komen