Covid-19: Malaysia pertama kali catat kes lebih 2,000 sehari

Covid-19: Malaysia pertama kali catat kes lebih 2,000 sehari

BUAT pertama kali Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 melebihi 2,000 hari ini, iaitu tertinggi sejak wabak itu melanda negara.

Sebanyak 2,188 kes baharu dicatat hari ini, semuanya adalah kes penularan tempatan, menjadikan keseluruhan kes di Malaysia kini 58,847 dengan jumlah kes aktif ialah 14,353.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes paling tinggi dicatatkan di Selangor iaitu 1,623 dan sebahagian besar daripada Kluster Teratai.

Ia diikuti Sabah yang semakin menunjukkan penurunan iaitu 232 kes, Perak (112) dan Kuala Lumpur (90), selain Negeri Sembilan (73), Johor (19), Pulau Pinang (15) dan Kedah (14).

“Kes sembuh juga mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 1,673 hari ini, menjadikan keseluruhan kes sembuh kini adalah 44,153 atau 75 peratus kadar kesembuhan daripada keseluruhan kes,” katanya.

Beliau berkata sebanyak empat lagi kematian dicatatkan hari ini menjadikan keseluruhan kes kematian di Malaysia kini meningkat kepada 341 kes. – Malaysiapost

Komen