Da’i Syed buat laporan polis dituduh merogol gadis

Da’i Syed buat laporan polis dituduh merogol gadis

“TUDUHAN itu terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya”, kata bekas peserta program Dai Pendakwah Nusantara yang dikenali sebagai Da’i Syed susulan terdapat dakwaan dirinya merogol seorang gadis.

Satu laporan polis telah dibuat oleh Syed berhubung dakwaan tersebut di di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor petang tadi.

Ini berikutan seorang pemilik akaun laman Twitter membuat kenyataan bahawa rakannya mengalami trauma akibat menjadi mangsa rogol.

Menurut Syed atau nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, laporan polis itu untuk membersihkan namanya selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas terbabit.

“Tuduhan itu terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya. Saya terkejut dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi selama menjadi pendakwah.

“Saya memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut kerana dakwaan itu mencemarkan nama baik saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataannya hari ini, Syed, 25, telah dimaklumkan rakannya bahawa gambar dan kisah dia dikaitkan sebagai perogol tular di media sosial dan Twitter oleh seorang pemilik akaun Twitter.

Pemilik akaun terbabit mendakwa rakannya yang bersifat naif itu dibawa pulang ke rumah Syed sebelum diperkosa.

Kandungan laporan yang dibuat juga dinyatakan bahawa dia tidak mengenali pemilik akaun terbabit mahupun rakannya yang didakwa dirogol itu.

Selain itu, pemilik akaun terbabit turut mendakwa Syed bukan pertama kali berbuat demikian sebaliknya beberapa gadis lain juga pernah menjadi mangsanya.

Syed yang juga penyanyi dan pelakon itu berkata, dia berharap isu terbabit dapat diselesaikan dengan segera selain menyifatkan apa yang terjadi sebahagian daripada cabaran dalam menyebarkan syiar Islam.

“Ia mencalarkan maruah saya dan keluarga. Saya anggap kontroversi ini sebagai dugaan dalam saya menjalankan tanggungjawab untuk menyalurkan mesej Islam,” ujarnya – Malaysiapost

Komen