Dua MP dari Sabah dibenar masuk Dewan Rakyat tanpa kuarantin?

Dua MP dari Sabah dibenar masuk Dewan Rakyat tanpa kuarantin?

Wartawan Malaysiapost

DUA Ahli Parlimen dari Sabah dikhabarkan ‘terbang’ ke Kuala Lumpur bagi menyertai perbahasan dan pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Khamis ini.

Menurut sumber, kedua-dua Ahli Parlimen yang dibenarkan ke Dewan Rakyat itu ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

“Jeffrey sudah berada di Kuala Lumpur sejak semalam, di mana beliau selamat mendarat petang semalam.

“Manakala Bung masih di Sabah dan beliau dijadualkan menaiki ‘flight’ ke Kuala Lumpur petang ini.

“Sekiranya Jeffrey selamat untuk ke Kuala Lumpur sudah tentu Bung juga tidak bermasalah,” katanya kepada Malaysiapost.

Kehadiran kedua-dua mereka di Parlimen Khamis ini pastinya menimbulkan ketegangan susulan individu dari Sabah perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Sebelum ini media melaporkan, menjelang persidangan Dewan Rakyat bermula 2 November, beberapa Ahli Parlimen dari Sabah mula menjalani kuarantin di ibu negara bagi membolehkan mereka menghadiri mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-14 yang dijadual berlangsung sehingga 15 Disember.

Mereka perlu menjalani ujian Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipakaikan gelang pengawasan dan seterusnya menjalani kuarantin 14 hari, seperti mana ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, Jumaat lalu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan individu yang tiba dari Sabah dengan menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu serta didapati negatif, masih perlu memakai gelang kuarantin dan menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik saja sampai di Semenanjung.

Katanya, walaupun ada kelonggaran terhadap pengembara yang sudah menjalani ujian tiga hari sebelum memulakan perjalanan ke Semenanjung, mereka masih perlu mematuhi ketetapan itu.

Beliau menjelaskan, individu terbabit perlu ke kaunter saringan sebaik saja tiba di KLIA untuk dipakaikan gelang kuarantin dan diberikan borang arahan perintah pemantauan di rumah (HSO), sama seperti pengembara yang tidak menjalani ujian saringan lebih awal.

Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan komen dua Ahli Parlimen berkenaan dan juga Speaker Dewan Rakyat berhubung dakwaan itu. – Malaysiapost

Komen