EPL bakal kembali meriah dengan penyokong

EPL bakal kembali meriah dengan penyokong

LIGA Perdana Inggeris (EPL) bakal mendapat sorakan lebih gemuruh bermula bulan depan apabila penyokong dibenarkan masuk ke stadium susulan pengumuman terkini kerajaan British.

Maksimum 4,000 penonton boleh kembali menonton acara sukan di stadium terbuka untuk beberapa kawasan di England yang berisiko rendah Covid-19 bermula 2 Disember.

AFP melaporkan antara sukan yang dibenarkan kehadiran penonton ialah bola sepak, ragbi dan lumba kuda.

Jumlah maksimum ditetapkan pada 4,000 penonton atau separuh kapasiti stadium – yang mana lebih sedikit – di sebahagian kawasan di negara itu sebaik kawalan pergerakan berakhir.

Bagi kawasan yang risikonya sederhana, maksimum 2,000 penonton dibenarkan, manakala kawasan yang berisiko tinggi belum dibenarkan kehadiran penonton.

Kerajaan British akan menetapkan kawasan mana di England akan diletakkan dalam zon rendah, sederhana atau tinggi Khamis ini berdasarkan data terkini Covid-19.

Sebelum kawalan pergerakan, sebahagian tempat termasuk London berada dalam kawasan berisiko sederhana.

Namun tiga daripada kelab besar Liga Perdana Inggeris – Liverpool, Manchester United dan Manchester City – berada dalam kawasan berisiko tinggi.

Bagaimanapun kerajaan hanya membenarkan penyokong tuan rumah untuk hadir bagi mengelakkan perjalanan penyokong pelawat menggunakan pengangkutan awam.

Pengumuman itu disambut baik Liga Perdana yang menerima impak sejak kehilangan penonton.

“Peminat amat rindukan perlawanan Liga Perdana dan kami mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri berkenaan kepulangan penyokong,” kata Liga Perdana dalam satu kenyataan. -Malaysiapost

Komen