Kemelut royalti: Karyawan komited bantu SPRM selesaikan kemelut 20 tahun

Kemelut royalti: Karyawan komited bantu SPRM selesaikan kemelut 20 tahun

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) sekali lagi menyatakan komitmen membantu dan memberi sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu royalti pemuzik dan artis tanah air.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, berkata dia berharap SPRM menyiasat dan menyelesaikan kemelut yang berlarutan selama 20 tahun itu.

Bagi tujuan itu, katanya, beliau telah bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki baru-baru ini, menyampaikan taklimat berkaitan latar belakang isu royalti dihadapi industri hiburan tanah air.

Turut hadir dalam pertemuan kira-kira sejam itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya dan Pengarah Siasatan, Datuk Norazlan Mohd Razali.

Freddie berkata, masalah bermula pada 2001 apabila Public Performance Malaysia (PPM) tidak setuju berkongsi royalti dengan artis, malah menubuhkan badan berasingan melalui Prism Sdn Bhd.

“Yang peliknya ia diketuai oleh seseorang yang bukan artis tetapi bekas ketua syarikat rakaman antarabangsa iaitu Datuk Aziz Bakar.

“Setelah beberapa tahun kecewa dengan prestasi Prism Sdn Bhd dan menerima banyak aduan mengenainya, PPM membatalkan kontrak kutipannya dengan Prism Sdn Bhd pada 2011 dan syarikat itu tiada pilihan dan menutup operasinya.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setelah dibanjiri aduan artis terhadap Prism Sdn Bhd, memutuskan untuk memperkenalkan lesen untuk badan kutipan royalti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Freddie berkata, syarikat rakaman sekali lagi berusaha mengawasi kutipan royalti artis dan menubuhkan Recording Performers Malaysia Bhd (RPM), dengan Datuk Sheila Majid dilantik Pengerusi dan kutipan dilakukan semula oleh PPM.

Bagaimanapun katanya, ia bertukar mimpi ngeri kerana Sheila memiliki pengetahuan terhad menjalankan badan seperti ini.

Susulan itu, menurutnya, satu petisyen telah dimulakan oleh Karyawan baru-baru ini yang meminta Sheila meletak jawatan dan setakat ini mendapat sokongan menggalakkan dari komuniti artis dengan 83 tandatangan dalam lima hari.

Beliau berkata, pada 2014 Aziz Bakar muncul sekali lagi, kini sebagai Penasihat badan baharu bernama Prism Bhd dengan Anuar Dahlan sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Katanya, tidak seperti RPM, Prism mula mengutip royalti daripada kumpulan pengguna mengakibatkan rungutan dari pengguna kerana terpaksa membayar terlalu banyak badan.

“Menteri KPDNHEP ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kurang puas hati dengan semua keluhan tersebut dan memperkenalkan satu unit kutipan gabungan dinamakan Music Rights Malaysia Bhd atau MRM.

“Ia terdiri empat badan iaitu MACP atau Perlindungan Hak Cipta Pengarang Muzik yang mewakili komposer dan penerbit, PPM mewakili syarikat rakaman dan dua badan artis RPM dan Prism mewakili artis.

“Hamzah secara bijak menentukan bahawa formula untuk mengagihkan wang antara badan-badan itu mengikut cara negara Barat iaitu 2: 1: 1 di mana MACP akan mendapat 50% daripada royalti, PPM mendapat 25% dan kedua-dua badan artis tersebut berkongsi 25%,” katanya.

Sementara itu, Freddie berkata, Prism Bhd terpaksa ditutup kerana kalah kes mahkamah kepada PPM dan kini hanya RPM tinggal sebagai badan mewakili artis di MRM.

Katanya, anggota Prism benar-benar tidak mengetahui apa-apa dan kini ramai daripadanya memberi mandat kepada Karyawan untuk memastikan mereka mendapat bahagian royalti yang adil, selepas ketiadaan Prism.

“Sehingga hari ini pihak artis, tak kira dari RPM atau Prism belum menerima satu sen royalti daripada MRM sementara kutipan melebihi RM140 juta dan badan-badan lain di MRM seperti MACP dan PPM telah ambil dan mengagihkan wang kepada ahli mereka.

“PPM selepas itu meyakinkan dua badan lain bahawa penutupan MRM dan kembali ke badan asing yang buat kutipan dari pengguna adalah cara terbaik.

“Anehnya MACP setuju, walaupun ia bermaksud mereka akan kehilangan kelebihannya mengumpulkan dua kali ganda royalti dari PPM dan mungkin bermaksud PPM akan kembali mengumpulkan sejumlah yang sama dengan MACP dari pengguna. Karyawan telah mengeluarkan kenyataan memprotes penutupan MRM,” katanya.

Beliau berkata, tujuh persatuan mewakili pelbagai pengguna muzik, termasuk Persatuan Kompleks Membeli-Belah, Persatuan Pemaju Perumahan, Persatuan Hotel, dan lain-lain muncul dengan kenyataan bersama baru-baru ini yang tidak setuju dengan penutupan MRM.

“Mereka juga meminta kerajaan kembali ke badan kutipan yang tunggal. Karyawan pula mencadangkan agar pengagihan juga dilakukan satu badan dan bukannya tiga, untuk menjimatkan kos,” katanya. – Malaysiapost

Komen