Kerajaan cadang wujudkan semula PLKN

Kerajaan cadang wujudkan semula PLKN

[PARLIMEN] KERAJAAN bercadang mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selepas ia dimansuhkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program tersebut telah memberi kesan patriotisme dalam kalangan remaja yang menyertainya selepas tamat persekolahan.

“Program PLKN dimansuhkan 2018 namun berdasarkan kesan program baik dalam pembentukan patriotisme remaja yang telah menyertai program ini, pihak kementerian akan cadangkan semula kepada Jemaah Menteri agar projek ini dilaksanakan semula.

“Kita akan sediakan kertas memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan bagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian menjawab cadangan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) supaya mewujudkan semula PLKN.

Ketika pentadbiran PH, ia mengumumkan PLKN dan Biro Tata Negara (BTN) dimansuhkan.

Ismail Sabri berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan khidmat secara ‘soft landing’ kepada bekas pegawai PLKN dan mereka akan ditempatkan di pelbagai agensi bagi tempoh setahun bermula 2019. – Malaysiapost

Komen