Menteri, timbalan menteri BN yakin Ahli Parlimen BN sokong Belanjawan

Menteri, timbalan menteri BN yakin Ahli Parlimen BN sokong Belanjawan

ANGGOTA pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada Barisan Nasional (BN) yakin Ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 yang akan diundi untuk diluluskan, Khamis ini di Dewan Rakyat.

Kesemua anggota pentadbiran itu, terdiri 20 menteri dan timbalan menteri menzahirkan perkara tersebut menerusi kenyataan hari ini, antara lain bagi memastikan perancangan kerajaan membela rakyat dan memulihkan ekonomi dilaksanakan sebaik mungkin.

Menurut kenyataan itu, pandemik Covid-19 yang melanda negara telah memberi kesan negatif kepada keadaan ekonomi rakyat dan negara.

Justeru, menurutnya, negara memerlukan sebuah pentadbiran kerajaan yang stabil bagi memastikan proses pemulihan dapat
dilaksanakan secara teratur dan tersusun.

“Langkah pertama dalam membolehkan perkara ini dapat dicapai adalah dengan
memastikan Belanjawan 2021 disokong dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen di
Dewan Rakyat.

“Ini juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong yang telah menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

“Anggota pentadbiran dari BN (yang merupakan Ahli Dewan Rakyat) mengambil maklum cadangan serta pandangan yang dikemukakan Ahli-Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021.

“Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka juga setuju agar kerajaan yang telah dibentuk secara muafakat ketika ini terus didokong termasuk dengan memberi sokongan penuh kepada
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Katanya, untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, mereka berpendapat Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin sebaik keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperoleh mandat rakyat yang jelas.

“Sehingga itu, kami telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN dalam kerajaan sedia ada dan pada masa sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat dalam kerajaan,” katanya.

Berikutan itu, mereka memaklumkan satu mesyuarat yang diadakan bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, antara lain memutuskan ahli Jemaah Menteri dari BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama Pengerusi BN tersebut.

Ini bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri.

“Berdasarkan perkara yang dinyatakan ini, kami percaya rakan-rakan Ahli Parlimen
BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021,” katanya.

Berikut ialah senarai anggota pentadbiran kerajaan dari BN yang mengeluarkan kenyataan media ini:

1. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – Menteri Kanan Pertahanan
2. Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong – Menteri Pengangkutan
3. Datuk Seri Saravanan a/l Murugan – Menteri Sumber Manusia
4. Datuk Dr Noraini Ahmad – Menteri Pengajian Tinggi
5. Tan Sri Annuar Musa – Menteri Wilayah Persekutuan
6. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican – Menteri Belia dan Sukan
7. Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah – Menteri Tenaga dan Sumber Asli
8. Datuk Seri Hishammuddin Hussein – Menteri Luar Negeri
9. Khairy Jamaluddin – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
10. Datuk Halimah Mohamed Sadique – Menteri Perpaduan Negara
11. Datuk Seri Dr Adham Baba – Menteri Kesihatan
12. Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said – Timb Menteri Dalam Negeri I
13. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad – Timb Menteri Pembangunan Luar Bandar I
14. Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib – Timb Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
15. Mohd Shahar Abdullah – Timb Menteri Kewangan II
16. Datin Mastura Mohd Yazid – Timb Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)
17. Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah – Timb Menteri Pertanian dan Industri Makanan I
18. Datuk Zahidi Zainul Abidin – Timb Menteri Komunikasi dan Multimedia
19. Arthur Joseph Kurup – Timb Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),
20. Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng – Timb Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi I

Komen