Muhyiddin perlu bayar harga mahal untuk pertahankan kerajaan

Muhyiddin perlu bayar harga mahal untuk pertahankan kerajaan

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa terpaksa membayar ‘harga yang mahal’ untuk mempertahankan kerajaannya termasuk cubaan mendapatkan perisytiharan darurat yang gagal.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, berkata harga yang mahal itu terpaksa dibayar Muhyiddin kerana tiada kejujuran politik selain kerajaannya yang lemah boleh distabilkan jika tiada ‘permainan’ untuk menikam dari belakang.

“Macam macam boleh berlaku minggu ini. Bajet (belanjawan) lulus, Bajet ditolak, undi tidak percaya, parlimen bubar, Muhyiddin PM paling singkat dan mungkin akan ada PM baru.

“Kesemua ini gara-gara kerajaan lemah iaitu Kerajaan 113. Sebenarnya kerajaan ini boleh stabil jika ada kejujuran politik. Terlalu banyak ‘game plan’ untuk menikam dari belakang.

“Maka inilah harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Muhyiddin. Selain penggunaan ‘darurat’ yang gagal, Muhyiddin perlu keajaiban lain untuk selamatkan kerajaan PN (Perikatan Nasional)?,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata BN (Barisan Nasional) kekal dengan keputusan menyokong Belanjawan 2021 namun pengundian pada Khamis ini masih terbuka kepada kemungkinan.

“BN dah buat keputusan dan tak tahu apa berlaku pada Khamis ini. Berdasarkan perkembangan terkini saya lihat tidak ada perubahan daripada apa yang ditegaskan dan diumumkan oleh parti.

“Itu pendirian parti dahulu (sokongan belanjawan) bagi saya apa diumumkan oleh parti, itulah pendirian kita. Kalau ada mana-mana pihak yang lain yang rasa tak puas hati akhirnya mereka perlu lihat kepada apa yang parti putuskan, itu mudah untuk kita melihat ke depan.

“Kalau tidak semua ada pandangan, sentimen, emosi masing-masing. Kalau kita balik kepada apa yang menjadi persetujuan parti, mudah untuk kita lihat ke depan termasuk hari Khamis nanti,” katanya.

Bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini memaklumkan sokongan parti itu terhadap Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat.

Iaitu, pelanjutan moratorium pinjaman dan pengeluaran caruman akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Sementara itu Mohd Puad yang juga bekas ahli Parlimen Batu Pahat berkata rakyat sudah bosan dengan kemelut politik hari ini.

Katanya, Muhyiddin perlu ketepikan ego dan kembali kepada kejujuran politik.

“Pokoknya rakyat semakin bosan. Hentikan ego dan balas dendam. Balik kepada kejujuran politik,” katanya. -Malaysiapost

Komen