Parlimen tegang, Ka Siong vs Loke

Parlimen tegang, Ka Siong vs Loke

Fitri Nizam

[Parlimen] SUASANA Dewan Rakyat hari ini panas apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong ‘bertegang urat’ dengan Anthony Loke Siew Fook (PH – Seremban).

Pertengkaran mereka bermula apabila Ka Siong membidas Loke yang juga bekas Menteri Pengangkutan berhubung isu penamatan kontrak syarikat Dhaya Maju LTAT (DM-LTAT) dalam projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Loke dilihat berulang kali bangun mencelah ketika penjelasan Ka Siong berkenaan keputusan menamatkan Surat Setuju Terima (SST) projek kepada DM-LTAT yang dibuat selepas pertimbangan Kabinet.

“Kementerian saya telah senaraikan baik buruk dalam mempertahankan keputusan yang telah dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dan penamatan Surat Setuju Terima dalam memorandum Kabinet.

“Oleh kerana perkara ini dibawa ke mahkamah, maka tidak wajar bagi saya untuk membincangkannya secara terperinci,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Loke menuduh Ka Siong menipu dengan memberi jawapan mengelirukan.

Namun, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan, beliau menjawab tuduhan yang dilemparkan Loke kepadanya kerana sebelum ini beliau tidak berpeluang berbuat demikian disebabkan menjalani pembedahan tulang belakang di hospital.

“Saya dengar tuduhan Seremban ke atas saya. Saya tidak boleh jawab sebab terlantar di hospital tetapi nampaknya, Seremban cuba menjadi jurucakap syarikat,” katanya.

Ka Siong turut menyifatkan Loke sebagai tidak beradab apabila menuduhnya menipu ketika memberi jawapan kepada persoalan dibangkitkan pembangkang.

Menurut Menteri Pengangkutan itu, Loke telah melemparkan beberapa tuduhan tidak berasas dan omong kosong oleh pihak DM-LTAT kepadanya.

“Setelah menerima afidavit tersebut, saya segera meminta nasihat undang-undang dan telah dinasihatkan supaya membersihkan nama saya melalui proses perundangan tanpa mengumumkannya kepada khalayak bagi mengelak dipolitikkan.

“Bagaimanapun, saya menjangka syarikat itu akan menggunakan saluran berbeza, termasuk melalui ahli politik untuk dijadikan sebagai isu sensasi.

“Oleh itu, saya beritahu Kabinet 6 November lalu mengenai masalah ini dan pegawai yang bersama saya dalam perjumpaan dengan syarikat tersebut telah membuat laporan polis, serta dengan tegas menolak segala tuduhan fitnah dilemparkan,” katanya.

Pertengkaran mereka turut mendapat perhatian Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang kemudian menasihatkan Loke untuk lebih bertenang supaya tidak terkena serangan jantung. – Malaysiapost

Komen