Pengecualian dasar kabotaj kurangkan kebergantungan kapal asing

Pengecualian dasar kabotaj kurangkan kebergantungan kapal asing

Fitri Nizam

[Parlimen] KEPUTUSAN menarik balik pengecualian dasar kabotaj tidak akan memberikan kesan kepada kadar kemasukan pelaburan asing ke Malaysia, tegas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata, keputusan secara sebulat suara Jemaah Menteri pada 13 November lalu itu merangkumi usaha mengurangkan aliran keluar wang asing menerusi bayaran pengangkutan atau perjanjian penyewaan kapal, selain insurans dalam baki bayaran akaun negara.

“Pertimbangan lain ialah demi mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing dengan meningkatkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.

“Kita ingin membina kapasiti perkapalan domestik dan meningkatkan keupayaan dalam sektor perkhidmatan domestik, selain memacu lonjakan kepakaran teknikal melalui pembangunan sumber manusia dalam kalangan warga tempatan.

“Keselamatan dan kedaulatan negara juga terjamin dengan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Anthony Loke (PH-Seremban) bangun menyanggah logik dikemukakan kerajaan atas alasan pengecualian dasar kabotaj bagi meluluskan operasi kapal asing sebelum ini dilaksanakan kerana Malaysia tidak mempunyai kepakaran dan jenis kapal tertentu.

Katanya, keputusan terbaharu itu mencetus kesan negatif, khususnya syarikat gergasi dalam industri telekomunikasi dan teknologi yang didakwa hilang keyakinan terhadap Malaysia untuk menyuntik pelaburan pusat data.

“Ia memerlukan masa panjang, jadi kita beri pengecualian dulu (terhadap dasar kabotaj dengan memberi kelulusan kapal asing beroperasi) demi kepentingan negara, bukan satu dua syarikat,” katanya.

Ka Siong menyifatkan bekas Menteri Pengangkutan itu tidak cakna dengan situasi terkini dalam industri perkapalan, termasuk kemampuan teknikal yang diperlukan bagi jenis perkhidmatan tertentu.

Beliau berkata, ada syarikat yang juga ahli Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) ketika ini berkemampuan melakukan kerja diperlukan, memandangkan mereka terbabit dalam aktiviti pembaikan sama di kawasan serantau seperti Indonesia dan Singapura.

“Saya boleh bagi pengesahan dan nama syarikat pada hari ni, MASA juga sahkan kerana ada dasar ini, mereka boleh hidupkan pembangunan kapasiti bagi negara kita.

“Saya sudah jumpa kedua-dua pihak dan jadi pengadil, akhirnya apa yang diperlukan ialah bukan jenis kapal, sebaliknya kepakaran teknikal bagi mengendalikan kerja tertentu.

“Bagaimanapun, kenapa masih ada syarikat tempatan yang mendaftar di Indonesia dan Taiwan sedangkan mereka ini syarikat tempatan dari Malaysia.

“Mereka berasa janggal kerana negara sendiri tidak beri pengecualian kalau kita ada kepakaran,” katanya.

Sehubungan itu, Ka Siong berkata, keputusan kerajaan menarik balik pengecualian dasar kabotaj tidak bermaksud ia menyekat kemasukan atau peluang kapal asing bagi pelaksanaan kerja teknikal.

Sebaliknya, beliau menjelaskan MASA diberi sela masa tertentu untuk mencari kepakaran tempatan, sebelum memberikan peluang kerja kepada syarikat asing.

“Menerusi aplikasi talian Sistem Elektronik Lesen Perkapalan Domestik (eDSL), kita pendekkan masa kepada 27 hari, justeru kalau ada pihak tempatan yang boleh siap kerja dalam tempoh 10 hari, maka kita gunakan kepakaran tempatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen