Selangor salur RM116,000, bantu rumah anak yatim, kebajikan bukan Islam

Selangor salur RM116,000, bantu rumah anak yatim, kebajikan bukan Islam

KERAJAAN Selangor menyalurkan peruntukan RM116,000 kepada 29 rumah anak yatim dan kebajikan bukan Islam di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman bergambar dan beramah mesra dengan penerima-penerima peruntukan bantuan Rumah Anak Yatim dan Rumah Kebajikan Non-Muslim Selangor di Bangunan SUK hari ini.

Exco Pembangunan Modal Insan, Generasi Muda dan Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata peruntukan diberi sempena Program Ramah Mesra Rumah Anak Yatim dan Rumah Kebajikan ‘Non-Muslim’ Selangor.

Katanya, program itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

“Kerjasama ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkasakan nilai-nilai murni dalam kalangan penghuni rumah anak yatim dan rumah kebajikan, tanpa mengira latar belakang selaras dasar Selangor ‘Smart and Caring’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program tersebut membantu rumah anak yatim dan rumah kebajikan bukan Islam menjalankan aktiviti dan program yang memberi impak pembangunan sosial.

“Ini sekali gus membentuk dan melahirkan masyarakat madani dan mempunyai sahsiah yang tinggi,” katanya. – Malaysiapost

Komen