Syed Saddiq gesa Top Gloves dikenakan cukai durian runtuh

Syed Saddiq gesa Top Gloves dikenakan cukai durian runtuh

Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa syarikat Top Gloves dikenakan cukai durian runtuh susulan peningkatan kes Covid-19 di asrama syarikat berkenaan.

Beliau mendakwa syarikat itu mempunyai rekod yang bermasalah membabitkan kebajikan pekerja, di mana pertengahan tahun ini, Top Glove telah didenda sehingga RM116 juta kerana gagal menjaga kebajikan pekerja, kes-kes buruh paksa, dipaksa bekerja lebih masa, gaji ditahan dan pasport dirampas.

“Hari ini, mereka sekali lagi gagal kerana tidak melindungi kesihatan pekerja mereka. 1,067 pekerja positif Covid-19. Kes Kluster Teratai ini sudah wujud sejak 2 November tetapi kilang mereka tidak pun ditutup.

“Sebab itu saya tidak ada rasa simpati kepada syarikat-syarikat besar.

“Mereka kaut untung besar, abaikan kebajikan pekerja, mengamalkan buruh paksa. Apabila Covid-19 tular di Malaysia, mereka mengaut keuntungan supernormal sehingga mencecah siling harga pasaran sebesar RM 77.59 bilion (sehingga 15 Oktober 2020).

“Ini juga sebab saya minta mereka bayar cukai kerana keuntungan supernormal mereka iaitu Cukai Durian Runtuh (Windfall Tax),” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau percaya ini semua bukan satu alasan untuk syarikat-syarikat besar yang mengaut keuntungan besar tidak membayar cukai tambahan kerana mereka mendapat untung luar biasa.

“Saya tidak akan tunduk kepada syarikat besar. Mereka kaut untung di Malaysia, mereka wajib bantu negara lebih-lebih lagi pada waktu susah begini.

“Saya tidak akan bela syarikat kaya. Mereka sudah rasa nikmat puluhan bilion ringgit keuntungan tetapi hanya derma RM400 juta kepada negara.

“Bayar cukai durian runtuh ini pun hanya berjumlah sekitar RM4.8 bilion sahaja,” katanya. -Malaysiapost

Komen