Terima kasih Keon, anda lagenda Hijau Kuning

Terima kasih Keon, anda lagenda Hijau Kuning

Muhammad Mustakim Ramli

SELEPAS 14 musim, pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari sah meninggalkan pasukan Hijau Kuning selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkannya menerusi Facebook FA Kedah, hari ini.

“Khairul Helmi Johari atau dikenali Keon di kalangan peminat antara legenda skuad Hijau Kuning yang telah berkhidmat bersama pasukan Kedah selama 14 tahun.

“Walaupun tidak berada dalam perancangan pasukan di musim 2021, beliau antara pemain yang masih mampu beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Warga KFA mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya beliau di masa hadapan, dengan komitmen yang dipamerkan selama ini, beliau adalah aset buat mana-mana pasukan,” kata FA Kedah.

Sinonim dengan jersi nombor 13, Keon pernah diamanahkan sebagai ketua pasukan di era jurulatih Tan Cheng Hoe, Ramon Marcote dan Nidzam Adzha.

Selain itu, Keon antara pemain di Malaysia yang telah memenangi semua kejohanan tempatan bersama satu kelab dalam kabinet kejuaraan peribadi antaranya, Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Premier, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. – Malaysiapost

Komen