VAT69 pantau lokasi serangan

VAT69 pantau lokasi serangan

POLIS memberi jaminan keadaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Pos 9 dekat Padang Besar, Perlis terkawal, susulan insiden tembakan yang mengorbankan seorang anggota pasukan keselamatan pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ketika ini anggota Komando 69 (VAT69) masih berada di lokasi kejadian serangan itu bagi memantau keadaan.

“Kita sudah melakukan tinjauan di lokasi dan secara kebetulan ketika kejadian kita sudah ada anggota komando berdekatan. Keadaan di lokasi ketika ini adalah terkawal,” katanya seperti dilapor BH.

Terdahulu Abdul Hamid; Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilihat masuk ke lokasi kejadian kira-kira jam 11.30 pagi tadi sebelum keluar pada jam 2 petang.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala Koperal T Norihan, 39, cedera parah dan dilaporkan kritikal.

Difahamkan, sindiket penyeludupan disyaki dalang serangan dua anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi. – Malaysiapost

Komen