Ahmad Zahid ulangi pendirian sokong Belanjawan 2021 jika 2 syarat dipenuhi

Ahmad Zahid ulangi pendirian sokong Belanjawan 2021 jika 2 syarat dipenuhi

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian parti itu akan menyokong Belanjawan 2021 jika dua syarat utama yang dikemukakan sebelum ini dipenuhi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan menyokong belanjawan kali ini dengan meminta supaya soal moratorium dan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dilaksanakan.

“Saya telah mengutus surat pada Perdana Menteri menyatakan keputusan yang telah dibuat oleh parti. Respon untuk dua kenyataan itu, saya dapati Menteri Kewangan sangat terbuka.

“Bukan hanya mengadakan perbincangan bersama dengan Ahli Parlimen Umno dan BN, tetapi turut melibatkan menteri, timbalan dan Ahli Parlimen yang lain.

“Bukan sekadar itu, Menteri Kewangan mengadakan perbincangan empat mata dengan saya, juga dengan pengerusi kelab penyokong kerajaan. Ini adalah satu yang tidak berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu program bual bicara sebentar tadi.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Datuk Tengku Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah sangat baik kerana mengadakan sesi dialog secara intelektual dan dalam masa yang sama meletakkan unsur politik sebagai pertimbangan.

Beliau turut mengakui akan wujud modifikasi kepada dua permintaan daripada Umno yang telah diajukan kepada pihak kerajaan sebelum ini.

“Saya sedar akan ada suatu keadaan di mana tidak 100 peratus permintaan itu dipenuhi sama ada dari segi moratorium atau pengeluaran Akaun 1 KWSP.

“Tetapi kita mahu kepayahan dan keperitan hidup rakyat yang dihadapi oleh peminjam terutama golongan B40 dan M40 yang kehilangan pekerjaan atau kekurangan pendapatan harus diberikan keutamaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan permintaan tersebut bukan hanya mencakupi institusi perbankan dan institusi kewangan memberikan moratorium, perlu tertakluk juga kepada syarikat berlesen yang memberi pinjaman tetapi tidak tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Pihak ini tidak mahu mengikuti moratorium yang diarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mereka tidak tertakluk pada akta tersebut kerana lesen mereka di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Jadi Akta Pinjaman Pengguna perlu dilaksanakan sepenuhnya. Kita berusaha memperjuangkan golongan ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen