Belanjawan 2021: Demi survival rakyat dan negara

Belanjawan 2021: Demi survival rakyat dan negara

SOKONGAN ahli Dewan Rakyat terhadap Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) esok adalah ‘cerminan’
sebenar nilai keikhlasan mereka terhadap rakyat dan negara.

Naib Presiden, Pertubuhan Gerakan QIAM, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata ketika ini rakyat seluruh negara menunggu dan menilai sikap dan keikhlasan ahli Dewan Rakyat yang akan mengundi Belanjawan tersebut.

“Wakil-wakil rakyat yang dipilih diberi amanah oleh rakyat untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Sokongan Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat penentu ‘hidup mati’ Belanjawan tersebut yang terbesar dalam sejarah (RM322.5 bilion) itu akan terjawab apabila para ahli dewan memberi keputusan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, menjelang saat yang getir esok, QIAM merayu kepada semua wakil rakyat yang akan mengundi Belanjawan 2021 agar ‘memberikan keutamaan kepada kepentingan dan survival rakyat’ dengan mengatasi segala kepentingan-kepentingan lain.

“Itulah tujuan sebenar rakyat disetiap kawasan seluruh negara mengundi Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk duduk di Dewan Rakyat yang mulia itu.

“Demi kesejahteraan masa depan hidup rakyat, kelangsungan segala perancangan dan perlaksanaan tanggungjawab kerajaan sekarang untuk membendung dan ‘mengalahkan’ pandemik Covid-19, yang menyerang nyawa rakyat dan ekonomi negara, adalah dua perkara utama yang amat diperlukan buat masa ini,” katanya.

Biau berkata, anggota barisan hadapan memerlukan peruntukan besar yang berterusan.

“Hayati dan hormati lah titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, supaya ketepikan ‘politiking’ dan kepentingan peribadi buat seketika.

“Ingatlah bahawa Bajet peruntukan RM322.5 billion itu, yang terbesar dalam sejarah, adalah jelas akan memberi manfaat kepada rakyat majoriti iaitu B40 dan marhaen yang majoritinya orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, sejak Februari lalu selepas negara dilanda Covid-19, kehidupan rakyat B40 dan golongan pertengahan amat terjejas dihimpit dengan kesusahan untuk meneruskan kehidupan.

“Justeru, Belanjawan 2021 adalah perkara yang dinanti untuk membantu survival rakyat dan negara.

“Tidak dinafikan bahawa medan politik adalah perjuangan parti dan peribadi untuk menjadi kerajaan dan mendapat jawatan.

“Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk perkara itu diberi keutamaan. Melalui peti undi bila tiba masanya, rakyat selaku pengundi akan menilai dan membuat penentuan,” katanya.

Katanya, rakyat sekarang dilanda kesusahan dan kehilangan sumber pendapatan dan yang paling utama mereka memerlukan pertolongan dan bantuan.

“Oleh itu, sekarang ialah masanya untuk Ahli-Ahli Dewan mengambil sikap berjiwa besar menunjukkan keikhlasan politik untuk membantu rakyat dalam kesusahan.

“Jika ada nanti Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ‘menolak Belanjawan 2021’ yang bermotifkan politik dan dendam peribadi, semata-mata untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan – yang bertungkus lumus sedang berusaha menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara, hakikatnya rakyat sedang memerhati dan menilai,” katanya.

Beliau berkata, jika sekalipun Belanjawan 2021 tidak berjaya diluluskan, akibat tindakan anggota Dewan yang meletakkan kepentingan politik dan peribadi mengatasi kesejahteraan untuk rakyat, akhirnya rakyat juga yang menderita akibat penolakan itu.

“Jika penolakan Belanjawan dengan tujuan
untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan, semasa negara dilanda pandemik dan rakyat sangat-sangat memerlukan pertolongan, maka sikap dan perkiraan sedemikian adalah amat tidak wajar.

“… dan ia jelas tidak menghormati nasihat DYMM YDP Agong dan perbuatan yang membelakang kepentingan rakyat yang dalam kesusahan,” katanya.

Justeru, berkata, QIAM berdoa kepada Allah SWT agar memberi hidayah dan petunjuk kepada ahli Dewan agar melakukan perkara yang betul. -Malaysiapost

Komen