Belanjawan 2021: KPN letak kepercayaan penuh kepada Dewan Rakyat

Belanjawan 2021: KPN letak kepercayaan penuh kepada Dewan Rakyat

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meletakkan kepercayaan penuh kepada Dewan Rakyat supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan bagi memperkasakan sektor pertahanan dan ketenteraman awam negara.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin sekiranya belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu tidak diluluskan, proses demokrasi di negara ini akan tetap berjalan lancar.

“Pemimpin-pemimpin politik dilihat dapat memainkan peranan masing-masing dengan penuh kematangan dan dengan rasa penuh bertanggungjawab.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa fokus dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, di samping melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang kini masih berlangsung dan pengundian bagi meluluskannya dijangka diadakan esok.

Abdul Hamid berkata ketika ini, keadaan keselamatan adalah terkawal dan pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan terhadap sebarang aktiviti di seluruh negara selain membantu dalam penguatkuasaan bagi membendung penularan Covid-19.

“Kami juga tetap fokus dalam tugasan membantu Kementerian Kesihatan menangani ancaman Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, PDRM mengiktiraf agihan daripada peruntukan berjumlah RM17 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat. -Malaysiapost

Komen