Beli kenderaan baharu ketua jabatan, diluluskan zaman Mukhriz – MB Kedah

Beli kenderaan baharu ketua jabatan, diluluskan zaman Mukhriz – MB Kedah

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan pembelian kereta Honda Accord bukan untuk Exco kerajaan sebaliknya untuk kegunaan ketua-ketua jabatan di bawah kerajaan negeri.

Menurut beliau, peruntukan bagi pembelian kenderaan baharu itu diluluskan oleh pentadbiran bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Pembelian kenderaan ini bukan untuk Exco, tapi untuk jabatan-jabatan.

“Pembelian kenderaan kepada jabatan-jabatan ini diluluskan dalam Bajet 2020, bukan Bajet 2021. Ia dibentangkan oleh Menteri Besar yang terdahalu sebelum saya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, terdapat kenderaan rasmi jabatan-jabatan di bawah kerajan negeri telah lama digunakan dan ada yang telah dibeli oleh pengarah-pengarah jabatan tertentu.

Katanya, jabatan-jabatan itu terpaksa membeli kenderaan baru bagi digunakan oleh pengarah jabatan masing-masing.

“Ada kenderaan yang dibeli oleh pegawai yang telah pencen kerana mereka berkelayakan untuk membeli kenderaan yang mereka pakai, dua kenderaan yang telah dibeli oleh pegawai terdahulu iaitu pengarah tanah dan galian dan pengarah hal ehwal agama Islam.

“Bila pegawai itu beli, jadi jabatan tidak ada kereta dan kena beli ganti,” ujarnya seperti laporan Malaysiagazette.

Beliau berkata, kenderaan rasmi yang digunakan oleh pengarah-pengarah jabatan telah terlalu lama dan memperuntukkan kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi.

Malah, katanya, kos penyelenggaraan itu terlalu tinggi melebihi pembelian kenderaan baharu.

“Kos penyelenggaraan sudah melebihi 100 peratus harga kereta. Kos penyelenggaraan lebih kepada harga beli.

“Yang telah dilupuskan adalah Pegawai Daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim, Kubang Pasu dan Pokok Sena, jadi mereka ini tidak ada kenderaan rasmi.

“Jabatan lain mempunyai kenderaan yang sudah berusia lebih 10 tahun, dan kos penyelenggaraan yang tinggi dan tidak ekonomi dan tidak dapat digunakan bagi perjalanan jauh iaitu Pengarah Jabatan Pertanian, Perhutanan, Kemasyarakatan Negeri Kedah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menjelaskan bahawa pembelian kenderaan itu tertangguh selama ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

“Pembelian berlaku pada bulan ini, kebetulan ketika ini saya jadi MB,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata pembelian itu melibatkan 12 unit Honda Accord, 11 unit Toyota Hilux oleh kerajaan negeri Kedah namun harga sesebuah kenderaan yang dibeli tidak diperincikan. -Malaysiapost

Komen