Da’i Syed abaikan mesej bapa selama 2 tahun

Da’i Syed abaikan mesej bapa selama 2 tahun

SYED Mohammad Shaiful, bapa kepada pendakwah muda, Syed Shah Iqmal atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed menasihatkan anaknya agar meninggalkan dunia selebriti sekiranya dia benar-benar bersalah.

Ia adalah susulan daripada dakwaan seorang pemilik akaun Twitter yang mendakwa rakannya mengalami trauma selepas menjadi mangsa rogol Da’i Syed, 25.

Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, Syed Mohammad Shaiful memberitahu mereka sekeluarga merindui Iqmal (Syed Shah Iqmal) yang dahulu.

“Jika benar kamu berakhlak buruk seperti yang didakwa atau ditularkan, janganlah kamu menggunakan agama sebagai topeng untuk menutup kerana perbuatan itu lebih hina dari iblis. Tinggalkan dunia selebriti dan kembalilah ke jalan Allah dan jalan leluhurmu,” katanya yang kini berada di Kaherah, Mesir.

Menurut beliau, sekiranya anaknya itu didapati bersalah, dia memohon Allah mengembalikan anaknya ke jalan yang diredai.

“Segala didikan yang saya beri kepadanya sejak kecil adalah menurut yang agama sarankan dan tindakan untuk menegur serta nasihat kepadanya sudah saya usahakan sebaiknya. Namun, tiada upaya lagi apabila semua mesej peribadi saya diabaikan hampir dua tahun tanpa jawapan sepatah pun.

“Saya serahkan urusan menegur ini kepada Allah SWT untuk mengadilinya. Sekiranya benar dakwaan yang ditularkan, saya mohon Allah kembalikan anak saya ke jalan yang benar dan diredai,” tulisnya.

Syed Mohammad Shaiful berkata, dia mengakui isu yang baru tular itu sudah lama diketahui, namun tidak menyangka sehingga ahli keluarga turut terkena tempias.

Katanya, dia turut memohon kepada mangsa supaya membuat laporan polis dan sekiranya didapati bersalah, dia tidak akan mempertahankan anaknya itu.

“Isu tular ini sudah lama, hari ini makin heboh pula. Kami sudah letih nak hadap isu seperti ini, apatah lagi adik-adiknya yang masih belajar dan mereka tertekan dengan soalan-soalan sindiran dan ejekan daripada rakan di sekolah.

“Bagi mereka-mereka yang pernah menghubungi untuk mengadu kepada saya (yang mengaku mangsa), pergilah lapor kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan sewajarnya. Saya memberi jaminan, saya tidak akan sama sekali mempertahankan atau menyebelahi anak saya sekiranya dia memang melakukan kesalahan tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Da’i Syed telah membuat satu laporan di Balai Polis Mutiara Damasara, Petaling semalam berikutan dakwaan yang timbul mengaitkan namanya.

Dia membuat laporan tersebut untuk membersihkan nama baiknya, selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas itu. – Malaysiapost

Komen