Dr Mahathir, Ahli Parlimen Pejuang tolak Belanjawan 2021

Dr Mahathir, Ahli Parlimen Pejuang tolak Belanjawan 2021

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau dan rakan-rakan dalam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 yang akan melalui undian di Dewan Rakyat esok, sama ada diluluskan atau ditolak.

Bekas Perdana Menteri berkata ia dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang dipegang mereka bagi pihak rakyat sehingga penggal perkhidmatan sebagai wakil rakyat tamat.

Menerusi catatan di laman blognya chedet.cc, Dr Mahathir menjelaskan sebab penolakan Belanjawan yang menurutnya proses perbahasan beberapa hari kebelakangan ini amat mengecewakan.

Selain perbahasan terhad, katanya, tiada sebarang tanda kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan Ahli-Ahli parlimen mahupun kritikan rakyat.

“Sebaliknya, kerajaan mengugut Ahli-Ahli Parlimen dengan naratif jika Belanjawan 2021 tertolak maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan “frontliners” tidak dapat dibayar.

“Selain itu, ugutan menjurus kepada cubaan menimbul rasa kurang senang rakyat bahawa jika Belanjawan tidak lulus, maka bantuan-bantuan kewangan tidak akan sampai kepada rakyat yang amat memerlukannya.

“Saya telah terangkan sebelum ini jika Belanjawan tidak lulus ia tidak akan menghalang penyaluran gaji, pencen dan elaun penjawat awam dan “frontliners”. Begitu juga bantuan kewangan untuk keperluan rakyat tidak akan terjejas,” katanya.

Pejuang mempunyai seramai empat Ahli Parlimen termasuk Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, penyaluran kewangan tanpa Belanjawan diluluskan telah berlaku pada 1999 untuk sesi Belanjawan 2000.

Selain itu, katanya, kerajaan memilih tidak menerangkan segala perbelanjaan untuk penjawat awam dan “frontliners” sudah diperuntukkan sehingga akhir Januari 2021.

“Yang kelihatan menjadi keutamaan kerajaan ialah memastikan Belanjawan yang tidak mementingkan rakyat tetapi kelangsungan politik ini dilulus seberapa segera.

“Kita dapat lihat bagaimana isu kuarantin Ahli Parlimen dari Sabah yang menyokong kerajaan mendapat layanan “double-standard”.

“Tiba-tiba sahaja, kuarantin 14 hari ditetapkan Kementerian Kesihatan kepada mereka yang terlibat dalam pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dan kembali tidak lagi menjadi satu ketetapan.

“Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia kerana undi Ahli-Ahli Parlimen ini perlu kepada kerajaan untuk meluluskan Belanjawan,” katanya.

Dr Mahathir berkata setiap perlakuan dan pertukaran dasar serta ketetapan dibuat seperti menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik.

Yang menjadi mangsa, tegasnya ialah rakyat yang apabila tidak mengikut peraturan atau ketetapan itu, mereka didenda dan dihukum sedangkan jika Ahli Parlimen di pihak kerajaan melakukannya, peraturan ditukar dan mereka bebas dari sebarang hukuman.

Beliau juga menjelaskan apakah yang akan berlaku jika Belanjawan 2021 tidak lulus.

“Pertamanya, ia bukti kerajaan telah hilang “legitimacy” kerana ia tidak mempunyai majoriti cukup untuk melulus Belanjawan dan apabila ini berlaku, jika Perdana Menteri seorang yang bermaruah dia akan meletak jawatan.

“Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, ia boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Palimen.

“Tetapi sekarang, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, keadaan amat luar biasa dan pengalaman pilihan raya di Sabah memperlihat bahawa mengadakan pilihan raya umum bukanlah satu pilihan, malah jika dipilih boleh membawa kemudaratan,” katanya.

Katanya lagi, kerana itu, proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati Ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih jadi Perdana Menteri untuk menubuh kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihan raya umum ke-15 diadakan.

“Ini akan dapat memastikan kerajaan baharu mempunyai legitimacy dan tidak dipersoal seperti ‘kerajaan pintu belakang’ sekarang ini.

“Setelah kerajaan baharu ditubuh, ia boleh memilih untuk membentangkan Belanjawan baru atau mengambil Belanjawan yang telah ditolak dan dilakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu,” katanya.

Semua itu, kata Dr Mahathir dapat dilakukan dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa begitu lama. – Malaysiapost

Komen