ESSCOM rampas syabu, ecstasy RM2.5 juta

ESSCOM rampas syabu, ecstasy RM2.5 juta

KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) merampas 54.35 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 74.56 gram pil ecstacy bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di kawasan Kuala Sungai Tawau Lama dekat Tawau, malam kelmarin.

Dalam kejadian 9.20 malam itu, radar pasukan keselamatan mengesan sebuah bot laju bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Tawau menuju perairan Wallacebay, Indonesia.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, susulan itu aset Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dalam tugasan Operasi Cegah Pati (OCP) digerakkan ke lokasi sebelum memintas bot tersebut.

Katanya, bot laju dikendalikan dua suspek lelaki itu bagaimanapun memecut dan berpatah balik ke perairan Tawau Lama sebelum dikejar bot PPM yang membuat kawalan di perairan berkenaan.

“Pasukan keselamatan terdiri Pasukan Gerakan Am (PGA), tentera dan Bahagian Narkotik Polis Tawau yang turut menjalankan rondaan OCP Daratan, melakukan serbuan di lokasi pendaratan namun kedua-kedua suspek sempat meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui tiga kotak besar berlainan saiz mengandungi 54 bungkusan Teh Cina bertulis ‘Qin Shan’ yang berisi hablur kristal disyaki syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau hari ini.
Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan turut menemui satu paket plastik mengandungi 234 biji pil ecstacy seberat 74.56 gram.

“Ini rampasan terbesar syabu oleh ESSCOM sejak OCP Darat dan Laut dilancarkan di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) pada Mac lalu.

“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Malaysiapost

Komen