Fernandes ‘merajuk’ sepak penalti

Fernandes ‘merajuk’ sepak penalti

DI sebalik kemenangan bergaya Manchester United mengalahkan Istanbul Basaksehir, timbul tanda tanya dengan tindakan Bruno Fernandes yang ‘merajuk’ untuk mengambil sepakan penalti dalam perlawanan itu.

Meskipun berpeluang menjaringkan hatrik melalui sepakan penalti dalam perlawanan menentang kelab Turki itu, Fernandes dilihat lebih rela memberi kepada Marcus Rashford untuk menyempurnakannya untuk memberi kemenangan 3-0 kepada Manchester.

Malah, Fernandes juga mengumumkan bahawa dirinya tidak akan mengambil sepakan penalti untuk pasukannya lagi dan menyerahkan tugasan itu kepada rakan sepasukan yang lebih layak.

“Sudah tentu setiap pemain mahukan hatrik. Tetapi selepas perlawanan di Liga Perdana Inggeris, saya memberitahu Rashford yang dia akan mengambil sepakan yang seterusnya jadi ingat kata-kata saya itu.

“Dan dia juga merupakan penjaring terbanyak di Liga Juara-juara jadi itu adalah penting untuk dia mendapatkan semula keyakinannya.

“Ianya tidak kisah siapapun yang mengambil sepakan penalti, selagi mana ianya adalah gol untuk pasukan,” katanya kepada BT Sport selepas perlawanan Liga Juara Juara di Old Trafford.

Dipercayai, tindakan Fernandes itu berpunca daripada kritikan hebat yang diterimanya pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Bromwich Albion minggu lalu.

Dalam perlawanan itu, penjaga gawang lawan telah berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang disepak Fernandes, namun dibatalkan oleh pengadil kerana Penjaga Gol itu didakwa bergerak awal sebelum sepakan penalti itu dilakukan.

Sepakan penalti diambil semula dan berjaya disempurnakan oleh Fernandes, namun penjaga gol lawan tetap tidak berpuas hati dan mengecam teknik lompatan sepakan penalti Fernandes itu wajar diharamkan Fifa kerana boleh mengelirukan penjaga gol. -Malaysiapost

Komen