Kadar pinjaman PTPTN naik kepada RM8,000 untuk B40

Kadar pinjaman PTPTN naik kepada RM8,000 untuk B40

Fitri Nizam

[PARLIMEN] KEMENTERIAN Pengajian Tinggi bersetuju untuk menaikkan kembali kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada RM8,000.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata jumlah itu meningkat berbanding sebelum ini yang berjumlah RM6,800.

Katanya, jumlah baharu itu akan diberikan kepada peminjam dari keluarga B40 yang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Ia tertakluk kepada simpanan bertakaful oleh pihak IPTS bermula pada tahun 2021.

“Pada masa sama kementerian juga bersetuju untuk meluaskan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN kepada pelajar IPTS dari keluarga B40 berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh cadangan daripada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Noraini berkata, kerajaan sebelum ini telahpun bersetuju untuk menangguhkan pembayaran balik PTPTN bermula April sehingga September 2020.

“Kementerian telah melaksanakan penyambungan moratorium kali kedua mulai Oktober sehingga Disember 2020.

“Jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik bagi kedua-dua moratorium ini adalah sebanyak RM1.125 billion yang memanfaatkan 1.5 juta peminjam,” katanya.

Bagaimanapun, Noraini berkata walaupun penangguhan diberikan, kementerian mengucapkan terima kasih kepada 422,609 peminjam yang masih meneruskan bayaran balik pinjaman dengan jumlah RM595 juta bagi tempoh April hingga Oktober

  1. “Untuk moratorium yang ketiga, Kementerian telah mengambil tindakan awal berbincang dengan agensi-agensi berkaitan termasuklah Kementerian Kewangan.

“Perkara ini akan dibawa untuk pertimbangan pihak kerajaan selanjutnya,” katanya. -Malaysiapost

Komen