Kes baharu Covid-19 kembali tiga angka

Kes baharu Covid-19 kembali tiga angka

Nurul Huda Abhar

JUMLAH kes positif Covid-19 mencatatkan penurunan lebih sekali ganda daripada 2,188 kes semalam, kepada 970 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu sebanyak 965 adalah penularan tempatan dan lima lagi kes import.

Buat pertama kali, Negeri Sembilan mencatat kes tertinggi iaitu 318, Sabah 293 manakala Selangor yang merekodkan lebih 1,000 kes semalam, hanya 113 kes hari ini, diikuti Perak 80 kes.

Kuala Lumpur mencatatkan 44 kes, Labuan (37), Johor (30), Kedah (24), Pulau Pinang (14), Kelantan (8), Pahang dan Sarawak (2) serta masing-masing satu kes di Putrajaya, Melaka dan Terengganu.

“Kes baharu hari ini adalah lebih rendah berbanding kes sembuh iaitu 2,348.

“Untuk hari ini tiga kluster baharu dicatatkan dan tiga kluster pula ditamatkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 pada hari ini adalah empat kes, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 345.

“Kes yang menerima rawatan di Unit rawatan Rapi sebanyak 110 kes, dan 47 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya. – Malaysiapost

Komen