Kluster Teratai: saringan diteruskan untuk kekang penularan

Kluster Teratai: saringan diteruskan untuk kekang penularan

Nurul Huda Abhar

HAMPIR 7,000 daripada 11,215 individu yang dikenalpasti dalam Kluster Teratai di Klang, telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan masih diteruskan di kawasan tersebut untuk mengesan jika terdapat penambahan jangkitan wabak itu.

“Sebenarnya kita telah menjalankan saringan sebelum kawasan itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Mereka yang positif dimasukkan ke hospital, dan mereka yang terdedah pada kes yang positif akan dikuarantin,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan penilaian risiko pada setiap individu di kawasan terbabit jika mereka terdedah dengan kes positif atau tidak.

“Kita akan asingkan mereka dalam tempoh 14 hari. Khamis ini cukup tempoh 14 hari kita kuarantin mereka. Jadi hari ke-13 kita buat saringan kedua, kalau negatif baru kita lepaskan.

“Ada 28 kilang (Top Glove) dan 12 kilang telah ditutup sehingga 18 November, pada 24 November 20 kilang ditutup,” katanya lagi.

Tambahnya, walaupun telah ditutup tetapi jentera di kilang terpaksa beroperasi untuk mengelakkan ia mengalami kerosakan jika dihentikan.

Katanya, kebenaran diberi kepada kilang tersebut untuk jentera mereka kekal beroperasi tetapi dengan kadar minimum.

“Penutupan lapan lagi kilang akan dilakukan secara berperingkat. Apa yang penting untuk kita laksanakan saringan kepada semua pekerja di kluster tersebut.” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen