Mungkin saya DJ radio pertama Malaysia berlakon filem hindi

Mungkin saya DJ radio pertama Malaysia berlakon filem hindi

IBARAT bulan jatuh ke riba, itulah perasaan gembira yang sukar digambarkan Jamal Jamaluddin apabila secara tidak sengaja dapat berlakon bersama pelakon pujaannya.

Menceritakan detik manis itu, Jamal yang merupakan peminat fanatik aktres Bollywood, Aishwarya Rai mendapat tahu kedatangan bekas ratu cantik dunia itu ke Malaysia menerusi akhbar.

“Bulan Mei tahun 2001, saya dapat tahu daripada akhbar yang Aisyu (Aishwarya)
dan bintang Bollywood lain akan berada di Malaysia untuk penggambaran filem Hum Kisise Kum Nahin.

“Bila dapat tahu lokasi penggambarannya di sekitar Sunway Hotel, Petaling Jaya, saya bergegaslah ke situ selepas bersiaran,” ceritanya di kumpulan Malaysia Dulu Dulu Official di Facebook.

Jamal yang juga Penyampai Radio Era ketika itu berkata, tanpa memberitahu rakan rapat, beliau secara sendirian pergi ke hotel itu semata mata untuk melihat artis pujaan hati dengan mata sendiri.

“Setibanya di situ, kawasan depan Sunway Hotel dah sesak dengan orang ramai.

“Saya pilih berdiri di tempat paling dekat dengan khemah khas yang saya syak para pelakon berlindung daripada panas terik matahari. Saya pula dah bersiap sedia dengan kamera digital Sony,” katanya.

Saat dinantikan pun tiba, menurut Jamal, sebuah kereta bercermin gelap tiba-tiba berhenti di depan khemah khas tersebut, lalu muncul Aishwarya dan Amitabh Bachchan disusuli sorakan daripada orang ramai.

“Aisyu! You are gorgeous!” getusnya dalam hati.

Lucunya, Jamal berkata, nasib baik rakan-rakan Radio Era tidak hadir dan melihat keletahnya yang menjerit-jerit melaung nama artis pujaannya itu.

“Kalau tak, memang kena perli la kaw kaw kat konti nanti.

“Terloponglah saya sekejap bila Aisyu dan Amitabh Bachchan muncul sambil melambai-lambai tangan ke arah kami yang mula histeria,” ceritanya lagi.

Menariknya, Jamal menjelaskan, ketika berdiri dan merenung tanpa berkelip kira-kira lima meter dari Aishwarya, seorang lelaki warga India menegur dan menawarkan beliau berlakon.

“Lelaki itu bertanya sama ada saya ada masa kelapangan. Saya jawab saya ok sahaja. Dia kemudian tanya boleh tak saya berlakon jadi anggota polis!

“Bingung sekejap macam tak percaya apa yang saya dengar. Agaknya dia fikir saya macam tak minat, dia kata saya akan dibayar RM100,” kata Jamal mengakui tanpa bayaran sekalipun beliau sanggup berlakon percuma demi Aishwarya.

Setelah bersetuju, menurut Jamal, beliau diberi pakaian seragam polis dan penerangan babak yang akan dilakonkan.

“Saya akan keluar kereta polis daripada pintu belakang kiri.

“Yang tak dilupakan ialah adegan saya peluk Ajay Devgan untuk halang dia bertumbuk dengan Sanjay Dutt. Di belakang saya dengan wajah cemas ialah Aisyu!” cerita Jamal yang puas dapat berlakon meskipun babak tak sampai seminit dengan artis pujaan hati.

Namun begitu, menurut Jamal, oleh kerana perasaan malu yang menebal, tiada sebarang gambar beliau bersama Aishwarya berjaya dirakamkan.

“Impian menjadi kenyataan. Babaknya tak sampai seminit tapi kenangan 19 tahun lalu masih jelas dengan bantuan foto dan video.

“Saya mungkin DJ radio Malaysia pertama muncul dalam filem Bollywood,” ceritanya di Facebook yang telah mendapat lebih 2,000 tanda suka dan komen. – Malaysiapost

Komen