Petugas KKM sukar dapatkan kelengkapan PPE, terpaksa beli sendiri

Petugas KKM sukar dapatkan kelengkapan PPE, terpaksa beli sendiri

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerima aduan daripada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang sukar mendapatkan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

Presidennya, Adnan Mat berkata ia seperti pelitup muka dan hand sanitiser kerana bekalan diterima di setiap lapangan dan fasiliti kesihatan begitu terhad dan tidak mencukupi.

Berikutan itu, katanya, petugas KKM terpaksa membeli dan menyediakan sendiri PPE tersebut bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.

“Janganlah kita hantar mereka ini ke medan perang dengan ketiadaan kelengkapan yang cukup untuk menentang musuh.

“Aduan mengenai petugas KKM dikerah bekerja lebih 12 jam setiap hari dengan shif tidak menentu juga perkara yang menjadi perhatian CUEPACS.

“Dalam hal ini CUEPACS berharap ada penyelesaian dapat dilakukan oleh KKM dan kerajaan sendiri terutama di tempat kritikal seperti Sabah dan Lembah Klang serta beberapa negeri lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adnan berkata, kejadian seorang pemandu ambulans yang rebah dan meninggal dunia semasa bertugas juga mengejutkan CUEPACS dan berharap hal-hal kebajikan petugas KKM diberi perhatian serius.

“Janganlah keringat mereka diperah sehingga kering, tetapi kebajikan tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, berkenaan elaun one-off RM500 untuk 100,000 petugas barisan hadapan KKM seperti dimaklumkan dalam Belanjawan 2021, CUEPACS berpandangan ia perlu diperluaskan kepada lebih ramai petugas di KKM.

Jumlah 100,000 itu katanya, tidak memberi manfaat menyeluruh kepada semua petugas barisan hadapan KKM apatah lagi dengan situasi kes Covid-19 yang meningkat begitu drastik ketika ini.

“Begitu juga elaun khas Covid-19 diumum dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada Mac lalu, kerenah birokrasi dalam pemberian elaun tersebut masih lagi membingungkan petugas hadapan KKM hingga ada yang berputus asa untuk menuntut elaun tersebut.

“Walaupun ia telah diberi penekanan beberapa kali, isu ini seperti tiada penyelesaian kerana masih lagi berlaku kerenah birokrasi melampau hingga disambut dingin petugas barisan hadapan KKM.

“KKM sepatutnya mempermudahkan lagi dan melonggarkan syarat serta urusan tuntutan elaun ini,” katanya.

Adnan seterusnya berkata, isu lain yang dibangkitkan CUEPACS adalah:

  • Penambahan Gantian Cuti Rehat dari 150 hari kepada 200 hari kepada staf KKM memandangkan baki cuti masih banyak dan tidak dapat dilunaskan kerana perkhidmatan.
  • Kelonggaran untuk mengikuti kelas online untuk staf yang melanjutkan pengajian semasa waktu bekerja memandangkan cuti dibekukan.
  • Tiada taska atau tadika khas untuk anak-anak petugas barisan hadapan
  • Laporan pegawai tanggungjawab (PTJ) kepada Ketua Pengarah Kesihatan tidak meliputi keseluruhan apa yang berlaku di lapangan. Situasi ini mengakibatkan pihak atasan tidak mengetahui gambaran sebenar keadaan petugas di lapangan.
  • Kelewatan membayar tuntutan elaun kerja lebih masa

Beliau berkata, isu-isu tersebut dibangkitkan juga CUEPACS dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen hari ini. – Malaysiapost

Komen