Program isolasi pekerja kargo KLIA bendung Covid-19

Program isolasi pekerja kargo KLIA bendung Covid-19

Nurul Huda Abhar

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Program Isolasi Pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, ia berikutan peningkatan kes positif Covid-19 daripada Kluster Kaya yang melibatkan pekerja MAS Kargo di KLIA.

“Berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM), sidang khas hari ini setuju menjalankan program isolasi melibatkan 360 pekerja MAS Kargo di KLIA yang sihat, tidak bergejala dan disahkan negatif.

“Program ini akan berkuatkuasa 14 hari bermula esok dan berakhir 9 Disember 2020,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pekerja tersebut akan ditempatkan di Tune Hotel KLIA Aeropolis dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan pemantauan oleh pihak KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis.

Sementara itu, beliau berkata polis semalam menahan 312 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP dan semuanya telah dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri, tidak memakai pelitup muka (89), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (50), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran, aktiviti pusat hiburan (29), dan lain-lain (11),” ujarnya. – Malaysiapost

Komen