Selangor cadang PKPD di beberapa lokaliti

KERAJAAN Selangor bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti merekodkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya sudah meneliti beberapa lokaliti yang wajar dilaksanakan PKPD mengikut kluster yang merekodkan kes tinggi, lapor Berita Harian.

Katanya, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor petang ini.

“Setakat ini dua kawasan dikenal pasti untuk dilaksanakan PKPD.

“Kerajaan negeri juga bersedia untuk membiayai sebahagian kos operasi (pelaksanaan PKPD) ini sekiranya dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan program 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Kes harian Covid-19 di Selangor meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu, sebahagian besar akibat jangkitan kes di Kluster Teratai di Klang.

Semalam, Selangor merekodkan 1,623 kes baharu menjadikan kes aktif terkumpul kini 5,016. – Malaysiapost

Komen