Seorang lagi anggota PGA cedera ditembak

Seorang lagi anggota PGA cedera ditembak

SEORANG lagi anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) dilaporkan cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Ia adalah kejadian kedua membabitkan serangan tembakan hingga menyebabkan kecederaan ke atas anggota PGA selepas kejadian dua anggota pasukan keselamatan itu diserang di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, semalam.

Kejadian berlaku jam 6.15 petang ketika anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam.

Dipercayai anggota terbabit terkena tembakan secara tiba-tiba ketika melakukan kawalan sempadan di lokasi terbabit.

Peluru yang dipercayai dilepaskan dari arah negara jiran itu menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan ringan pada bahagian perut apabila tembakan terkena baju kalis pelurunya.

Difahamkan, anggota itu telah dibawa keluar dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan dalam kenyataan mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan pihak berkuasa.

Menurut Hasanuddin, maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Mayat mendiang Koperal Baharuddin dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat dan dibawa pulang bagi dikebumikan di kampung halamannya di Bahau, Negeri Sembilan. – Malaysiapost

Komen