Setia terhadap Umno umpama ‘lelaki kekal dengan seorang isteri’ – Annuar

Setia terhadap Umno umpama ‘lelaki kekal dengan seorang isteri’ – Annuar

TAN Sri Annuar Musa sekali lagi menegaskan pendiriannya akan terus kekal bersama Umno sekali gus menafikan dakwaan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata beliau akan kekal dan berperanan sebagai orang kuat dalam partinya itu.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sikapnya itu diumpamakan seperti seorang lelaki yang kekal kepada seorang isteri dan tidak berhasrat untuk bernikah dengan lebih ramai individu.

“Kalau seorang pun kita tidak mampu, maka tidak perlulah kita bercita-cita besar. Orang lama dalam Umno tahu siapa saya tetapi ahli baharu, mereka boleh fikir sendiri,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight

Annuar berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan yang dilemparkan ke atasnya kerana lebih cenderung mempertahankan Bersatu berbanding partinya sendiri.

Kritikan itu berbangkit susulan kenyataan beliau yang didakwa tidak mengikut sentimen akar umbi dan pemimpin Umno yang berang dengan dominasi Bersatu ke atas parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan beliau tetap setia ketika parti itu melalui pelbagai krisis dan tidak akan meninggalkan Umno apabila berdepan masalah sekali lagi.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Annuar sudah mati dalam perjuangan Umno tetapi tidak mahu ‘lompat’ ke PN.

Selain itu, beliau turut dikritik pemimpin Umno Perak, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyelar beliau kerana didakwa lebih mesra dengan PN.

Beliau turut dikritik Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi kerana tetap mempertahankan gabungan PN yang dipimpin Bersatu.

Parti dalam gabungan PN juga mengancam untuk menarik sokongan dan beberapa ahli Dewan Rakyat dari parti itu sudahpun memfailkan usul tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Terdahulu, menjawab kritikan itu, Annuar menegaskan beliau akan tetap setia dengan Umno selain berhasrat mahu mati dalam parti itu.

“Kalau saya mati dalam Umno Alhamdulillah. Selain saya nak mati dalam Islam, saya memang nak mati dalam Umno,” kata. -Malaysiapost

Komen