Sokong atau tak Belanjawan 2021, tunggu jawapan Menteri Kewangan esok – Noh

Sokong atau tak Belanjawan 2021, tunggu jawapan Menteri Kewangan esok – Noh

KEPUTUSAN sama ada ahli Dewan Rakyat Umno menyokong Belanjawan 2021 bergantung kepada sejauh mana keyakinan terhadap kerajaan untuk membantu rakyat.

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata ramai ahli Dewan Rakyat dari Umno mengambil sikap tunggu dan lihat.

Beliau berkata, ini kerana mereka perlu melihat apakah menteri-menteri terutama Menteri Kewangan akan memberikan sesuatu yang dimahukan oleh rakyat.

“Kalau kita dengar esok jawapan Menteri Kewangan itu boleh menyakinkan kita dan boleh memberikan kebaikan kepada rakyat, kenapa tidak kita sokong.

“Tetapi kalau kita dengar jawapan-jawapan menteri yang mana tidak seperti yang rakyat mahu, kalau kita sokong nanti rakyat marah kita pula. Jadi (kita) ‘wait and see’ ,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro Awani.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, sesi pengundian Belanjawan 2021 esok menimbulkan persoalan sama ada ia akan diluluskan atau sebaliknya.

Beliau berkata, belum pernah berlaku belanjawan tidak diluluskan selepas dibentang dan dibahaskan.

Katanya, banyak perkara yang membuatkan Belanjawan 2021, yang juga belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN), sukar diramal akan diluluskan atau tidak.

“Kedudukan parti yang tidak menguasai kerajaan membuatkan ahli-ahli Parlimen kerajaan bebas menentukan sama ada menyokong atau tidak.

“Bila kerajaan ini ditubuhkan, kita buat kenyataan bahawa kerajaan Perikatan Nasional adalah gabungan ahli-ahli Parlimen yang mana ia tidak mewakili parti.

“Jadi sebab itu hari ini bila kata parti menguasai kerajaan tidak tepat.

“Maka bila parti tidak menguasai kerajaan, maka ahli-ahli Parlimen mempunyai pandangan tersendiri; bila ada pandangan sendiri itu yang sukar,” katanya

Mengulas lanjut, Noh berkata, apa yang disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen Umno ketika perbahasan Belanjawan 2021 merupakan suara hati rakyat yang perlu diambil kira oleh kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh mengambil mudah ahli-ahli Parlimen pembangkang kerana ada di antara mereka pernah menjadi anggota Kabinet ketika Pakatan Harapan membentuk kerajaan,” katanya. -Malaysiapost

Komen