Sultan Johor hadiahkan kereta kepada pengarah, doktor HSA

Sultan Johor hadiahkan kereta kepada pengarah, doktor HSA

Nurul Huda Abhar

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan kereta kepada Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kakitangan Wad Diraja HSA, hari ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, baginda memaklumkan pengurniaan itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen serta profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.

Antara yang menerima kenderaan kurniaan Baginda adalah Pengarah Hospital, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma, Dr Ismail Jumali dan Pegawai Perubatan Unit Kardiotorasik Anestesia, Dr Mohd Firdaus Shamsuddin masing-masing telah menerima sebuah Proton X70.

Manakala Ketua Penyelia Jururawat, Sarinah Sukor dan Penyelia Jururawat, Fauziah Sulaiman masing-masing telah menerima sebuah Perodua Myvi.

Kenderaan diserahkan oleh Datuk Perdana Dalam, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa selaku wakil kepada Baginda Tuanku Sultan Ibrahim.

Menurut Dr Mokhtar, beliau menjunjung kasih ke atas kurniaan Baginda kepada kakitangan Wad Diraja HAS.

“Patik memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KeBawah Duli Tuanku atas kurniaan Baginda ini kepada patik dan kakitangan sekalian.

“Patik mendoakan Tuanku serta Kerabat DiRaja sentiasa sihat sejahtera. InsyaAllah, kami akan terus berikan perkhidmatan terbaik kepada Tuanku sekeluarga serta rakyat jelata,” katanya.

Terdahulu, Baginda Tuanku Sultan Ibrahim telah mengurniakan kereta MYvi kepada 10 jururawat Wad yang sama pada September lalu. -Malaysiapost

https://www.facebook.com/456817247818307/posts/1714303235403029/?d=n

Komen