Tukar nama JASA kepada J-Kom tak mampu reda keadaan – Najib

Tukar nama JASA kepada J-Kom tak mampu reda keadaan – Najib

DATUK Seri Najib Razak berkata, sama ada suka atau tidak, peruntukan RM85 juta dalam Belanjawan 2021 kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sudah dijadikan isu besar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ramai yang sudah sedar dan ramai sedang marah berhubung isu berkenaan.

Berikutan itu, katanya, beliau tidak yakin langkah kerajaan untuk menjenamakan semula nama JASA kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) mampu meredakan keadaan.

“Saya tengok ramai komen atau posting pro-PN sekarang sedang dibalas dengan komen “Ha! Budak JASA RM85j dah mula buat kerja.”

“Jika hanya dijenamakan semula, saya rasa komen balasan cuma bertukar menjadi “Ha! Budak J-Kom RM85j dah mula buat kerja.”

“Jadi, segala propaganda yang menyebelahi kerajaan PN akan menjadi kurang berkesan. Kerajaan perlu sedar wujudnya risiko ini,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Terdahulu hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan menjenamakan semula JASA sebagai J-Kom dengan peranan dan fungsi berbeza.

Beliau berkata objektif J-Kom adalah untuk mengadakan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, selain menyampaikan maklumat kerajaan dengan tepat, sahih dan bijaksana selain mendengar maklum balas daripada rakyat. – Malaysiapost

Komen