500 anggota PGA pertingkat kawalan sempadan

500 anggota PGA pertingkat kawalan sempadan

LEBIH 500 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) daripada pelbagai unit digerakkan ke sempadan Malaysia-Thailand bagi mempertingkatkan kawalan sempadan negara dari diceroboh.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata selain 314 kekuatan daripada Batalion 3 sedia ada yang melakukan kawalan, pihaknya turut menggerakkan unit berkuda membabitkan empat ekor kuda, unit udara, unit kereta perisai sebanyak tiga unit dan mendapat bantuan dari anggota 69 Komando (VAT69).

Katanya, PGA turut menggerakkan unit elitnya, Tiger Platoon dari Batalion 1 yang dijangka tiba di Perlis pada hari ini untuk membuat rondaan pembersihan di lokasi kejadian tembakan yang mengorbankan seorang anggotanya berhampiran pos TS9, kelmarin.

“Tiger Platoon ini akan memulakan tugas mereka hari ini untuk membuat pembersihan di kawasan kejadian sehingga esok. Di samping itu, satu lagi pasukan persenjataan juga akan akan tiba hari ini untuk mengesan senjata di kawasan terbabit.

“Kawasan liputan kawalan kami meliputi keluasan kira-kira 106 kilometer iaitu sepanjang Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Bukit Batu Putih, Kuala Perlis. Saya juga telah mengarahkan anggota yang membuat pemeriksaan untuk tidak berseorangan dan sentiasa bersama rakan seperjuang mereka.

“Operasi bersepadu ini adalah sehingga 27 November dan mungkin diteruskan jika mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Kelmarin, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya cedera dalam pertempuran dengan 13 penyeludup kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, cubaan untuk menyeludup ketum didapati masih berlaku walaupun kawalan ketat dilakukan pihaknya di sekitar sempadan.

Menurutnya, pergerakan penyeludup di sebelah negara jiran tidak kelihatan tetapi ada pergerakan daripada dalam negara dikesan yang mana terdapat barang-barang penyeludupan ditinggalkan di lokasi-lokasi tertentu.

“Kita tengok mereka ada tinggalkan barang di tiang-tiang elektrik yang mana nombor tiang elektrik itu menjadi petunjuk kepada ahli sindiket untuk mengambil barang penyeludupan,” katanya.

Mengulas mengenai insiden tembakan di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam petang semalam, beliau mengesyaki ia adalah sebagai satu tindakan amaran dan dipercayai menggunakan senapang angin. -Malaysiapost

Komen