Belanjawan 2021: MP kerajaan, menteri lega

Belanjawan 2021: MP kerajaan, menteri lega

BELANJAWAN 2021 yang diluluskan dengan suara ramai di Dewan Rakyat hari ini adalah kejayaan besar atas muafakat dan perundingan yang baik demi rakyat, kata Ahli Parliman Pontian, Datuk Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung Umno itu mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang.

“Lulus dengan suara ramai. Tiada belah bahagi. Tak mengundi.

“Hanya 13 MP (Ahli Parlimen) pembangkang yang bangun untuk minta belah bahagi sepatutnya perlu 15 orang,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa syukur kerana Belanjawan diluluskan dengan lebihan suara pada bacaan kedua.

“Percubaan pembangkang meminta undi belah bahagi ditewaskan oleh pembangkang sendiri apabila mereka yang berdiri memohon undi sedemikian tidak mencukupi 15 orang seperti disyaratkan. Tahniah semua MP,” katanya.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata Belanjawan 2021 yang diluluskan bukti keperluan rakyat diberi perhatian tertinggi.

“Alhamdulillah, kehendak rakyat didengari. Keperluan negara diberi perhatian tertinggi. Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Belanjawan2021 Peringkat Dasar,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam reaksinya berkata Menteri Kewangan menjawab pelbagai soalan Ahli Parlimen dengan tenang dan penuh dengan fakta.

“Tahniah! Pembangkang tergamam dengan penjelasan dan pengumuman YB Menteri Kewangan yang sedia mendengar suara rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen.

“Dewan kecoh kerana pihak pembangkang mencari helah untuk tidak menyokong Belanjawan 2021.

Pembangkang cuba minta undi belah bahagi tapi tak sampai 15 orang YB yang bangun. Maka, Belanjawan 2021 diluluskan dengan lebih suara bersetuju,” katanya. – Malaysiapost

Komen