Belanjawan 2021: Putra bantah kenaikan peruntukan Sekolah Cina

Belanjawan 2021: Putra bantah kenaikan peruntukan Sekolah Cina

WIRA Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dinaikkan sehinggaRM 24.7 juta dalam Belanjawan 2021.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata agihan peruntukan penyelenggaraan Sekolah Cina itu dinaikkan secara mendadak iaitu sebanyak RM74.07 juta berbanding RM50 juta tahun lalu.

“Sedangkan peruntukan bagi sekolah agama diturunkan daripada RM50 juta kepada RM12.23 juta sahaja.

“Peruntukan yang dikurangkan bagi UiTM sekitar RM3 juta memperlihatkan pembangunan pendidikan bagi kaum Bumiputera dipandang remeh.

“Di kala penularan wabak pandemik ini, pelajar universiti terbesar di Malaysia dengan kapasiti pelajarnya yang ramai memerlukan akses dan kemudahan jaringan yang lebih baik.

“Universiti perlu menambah baik infra bagi sistem jaringan agar para pelajar disegenap sudut boleh mendapat capaian dengan lebih baik.

“Manakala peruntukan kolej swasta TARUC dinaikkan peruntukan dari RM30juta kepada RM58 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, muslihat kepimpinan negara yang diterajui Perikatan Nasional (PN) hari ini, bertopengkan gagasan pemimpin yang membawa agenda Melayu dan Islam mempamerkan belang sebenar apabila tiada yang bertegas menyuarakan hal peruntukan SJKC yang dianggarkan penambahan sehingga 48.1 peratus bagi tahun 2021.

Katanya, Wira Putra serta rakyat majoriti di Malaysia amat kecewa dan membantah peruntukan yang terlalu rendah untuk institusi agama yang dilihat tidak serius untuk memartabatkan Islam, seperti sepatutnya, terutamanya bagi kerajaan yang mengelar dirinya kerajaan Islam- Melayu.

“Inikah dikatakan Kerajaan Islam – Melayu? Layakkah mereka menggelar diri mereka sebegitu sedangkan hakikat sebenar sekadar nak menarik hati majoriti rakyat.

“Muafakat Nasional, Perikatan Nasional nama nak hebat, jual nama perjuangan Melayu Islam. Akhirnya setelah diberi peluang memimpin, rakyat majoriti ditindas di tanah sendiri.

“Inilah yang dikatakan menang sorak kampung tergadai. Rakyat bertepuk tangan, bersorak apabila pemimpin pilihan mereka dapat memimpin negara, namun akhirnya kepercayaan itu dibaham bagi memenangi hati bukan kaum pribumi dan orang Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Nasrul Ali berkata, apabila menjenama diri sebagai pentadbiran Islam mereka sepatutnya menjadi contoh dari segenap aspek termasuk ketegasan dalam memperkasakan pendidikan dan menambah baik institusi orang Islam dalam negara.

“Takbir sana sini, sorak hidup Melayu, laung perjuangkan hak rakyat tapi semua temberang sahaja. Ibarat anak kera dihutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

“Pemimpin sejati takkan membiar belanjawan berat sebelah seperti ini sewenangnya diluluskan.

“Hanya pemimpin yang buta hati terhadap pembangunan anak bangsanya dan pentingkan kuasa serta jawatan semata-mata pasti akan menyokong belanjawan ini,” tegasnya.

Katanya, pemimpin Melayu Islam di dalam Dewan Rakyat yang buta dan gagal melihat perspektif pentingnya pembangunan pendidikan khusus kepada orang Islam dan Pribumi.

“Meletakkannya sama taraf atau sama rata dengan sekolah jenis kebangsaan cina adalah pemimpin yang tidak lagi punyai roh terhadap perjuangan agama dan bangsanya. -Malaysiapost

Komen